
KUALA LUMPUR: Menginjak lapan tahun dalam industri muzik tanah air, penyanyi dan komposer hip hop Zynakal terus memperkukuh perjalanan seninya apabila tampil dengan karya lebih matang menerusi single terbaharu berjudul ‘NIAT’.
Sony Music dalam kenyataan hari ini, berkata karya Zynakal, atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, dekat dengan realiti generasi muda masa kini, menyelami emosi pendengar melalui baris lirik yang ditulis sendiri penyanyi berusia 28 tahun itu.
Menurut Sony Music, ‘NIAT’ menjadi refleksi emosi dan pengalaman yang dekat dengan realiti ramai pendengar, khususnya berkaitan rasa takut mencintai, namun pada masa sama berharap untuk difahami.
“Lagu ini menggambarkan konflik dalaman seseorang yang takut untuk terlalu rapat kerana trauma dan pengalaman lalu, namun pada masa sama mula menyedari perasaan yang semakin sukar disembunyikan,” menurut kenyataan itu.
Lagu yang kini boleh didengar di semua platform digital itu digerakkan dengan susunan yang minimum dan berfokus kepada suasana.
Nama Zynakal mula dikenali menerusi single ‘Terbang’ pada 2018 sebelum fenomena ‘Sakit’ berduet dengan Yonnyboii meletakkan namanya sebagai antara artis muda paling berpengaruh dalam muzik arus perdana tempatan. – Bernama