
TOKYO: Gempa bumi kuat dengan magnitud awal 5.9 menggegarkan wilayah Kepulauan Amami di Wilayah Kagoshima, barat daya Jepun hari ini, tanpa amaran tsunami dikeluarkan, menurut agensi cuaca negara itu, lapor Berita Kyodo.
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, pusat gempa bumi pada 11.46 pagi itu terletak di luar pantai pulau utama Wilayah Okinawa pada kedalaman kira-kira 50 kilometer.
Gempa bumi itu mencatatkan intensiti atas lima dalam skala intensiti seismik Jepun yang mempunyai tujuh tahap di Yoron, di hujung selatan Wilayah Kagoshima.
Setakat 12.20 tengah hari, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda yang ketara dilaporkan di Yoron, menurut pihak berkuasa tempatan dan polis. – Bernama