
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) terus memperkukuh pendekatan mesra rakyat menerusi perasmian Kaunter Perkhidmatan MBM sempena Karnival Miri MayFest 2026 dan sambutan Ulang Tahun Ke-21 Bandaraya Miri yang berlangsung dari hari ini hingga 24 Mei 2026.
Pelbagai aktiviti serta perkhidmatan disediakan kepada orang ramai sepanjang tempoh penganjuran.
Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad berkata, penyediaan kaunter perkhidmatan berpusat itu merupakan satu inisiatif penting bagi memudahkan urusan rakyat khususnya warga Miri.
“Pendekatan tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan imej penyampaian perkhidmatan kerajaan, malah memberi kemudahan kepada masyarakat yang mempunyai kekangan pergerakan kerana segala urusan boleh dilakukan di satu lokasi tanpa perlu bergerak ke beberapa kaunter berasingan.

“Usaha seperti ini diharap dapat diperluaskan ke lokasi lain dalam pentadbiran MBM supaya rakyat terus menikmati perkhidmatan yang cepat, mudah dan selesa,” katanya pada Majlis Perasmian Kaunter Perkhidmatan MBM di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ariffin menegaskan hubungan erat antara komuniti dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat penting dalam memastikan pembangunan bandar raya dapat dilaksanakan secara mampan.
“Masih terdapat segelintir masyarakat yang kurang memahami fungsi sebenar PBT dan hanya mengaitkannya dengan kerja kutipan sampah serta pemotongan rumput semata-mata.
“Sebenarnya PBT memainkan peranan besar dalam memastikan pembangunan sosioekonomi sesebuah kawasan dapat dilaksanakan dengan baik selaras objektif kerajaan Sarawak,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau berharap setiap program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh PBT dapat diperluaskan melalui pelbagai platform agar lebih mudah diakses rakyat sekali gus membantu meningkatkan imej dan reputasi pihak berkuasa tempatan.


Beliau turut mengingatkan kepentingan amalan tadbir urus baik seperti ketelusan, akauntabiliti, responsif dan penyertaan awam bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PBT termasuk dalam aspek pembayaran cukai taksiran atau cukai pintu.
“Kaunter bayaran cukai taksiran pada karnival tersebut turut menyediakan hadiah menarik kepada pembayar yang menjelaskan bayaran setahun penuh tanpa tunggakan,” katanya lagi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Miri MayFest 2026, Kaunselor Sean Huang, Pengerusi Jawatankuasa SDG, Kaunselor Jamil Bujang serta Timbalan Setiausaha Bandaraya MBM, Petrick Linggie Taboh.
Oleh Adum Liu