EARL ANEK
SARIKEI: Tiga penghuni sebuah rumah di Jalan Ma Lock II, Sungai Rusa tinggal sehelai sepinggang apabila rumah dua tingkat mereka musnah dalam kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PPgB Mahmudin Narudin berkata, ketiga orang penghuni rumah tersebut berusia lingkungan 31 tahun sehingga 61 tahun.
“Mangsa terdiri dari seorang lelaki warga emas, seorang lelaki dan seorang wanita.
“Kebakaran petang semalam (kelmarin) telah memusnahkan 70 peratus rumah tersebut,” katanya kepada pemberita, malam kelmarin.
Dalam pada itu, katanya, punca kebakaran rumah dua tingkat tersebut masih dalam siasatan.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah tersebut pada jam 3.16 petang.
“Saya bersama 13 anggota bomba yang diketuai oleh PBK II Haron Jenai selaku komander operasi bergegas ke lokasi kebakaran selepas menerima panggilan kecemasan.
“Sampai dilokasi didapati sebuah rumah separuh kekal sedang marak dijilat diapi,” ujarnya.
Tambahnya, pasukan bomba memadam api menggunakan satu aliran tiga ratus kaki dua nozel air terbuka dari parit berhampiran sehingga padam sepenuhnya.