

KUCHING: Sebanyak 11 kenderaan disita dalam Ops Motosikal/HID/LED yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi Unit Operasi JPJ Kuching di Jalan Tun Abdul Rahman Yakub, di sini, malam tadi.
Operasi penguatkuasaan secara statik itu turut dipantau sendiri Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Sarawak, Suhesty Asmuni.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 648 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa dengan pelbagai kesalahan dikesan termasuk tiada lesen memandu, penggunaan lampu HID dan LED yang tidak mengikut spesifikasi, lesen memandu tamat tempoh serta kesalahan teknikal kenderaan.
Daripada jumlah keseluruhan sitaan, lima melibatkan motosikal, sebuah jip mewah, sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD), tiga kereta serta sebuah kereta dipandu warga asing.
Menurut JPJ Sarawak, tindakan sitaan dilakukan atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, pemandu warga asing tidak memiliki lesen memandu sah serta pengubahsuaian kenderaan secara ekstrem.
Katanya, tindakan penguatkuasaan turut diambil terhadap semua kesalahan yang dikesan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“JPJ Sarawak akan terus mempergiat dan memperkasakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras pelanggaran undang-undang jalan raya serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat