
LAWAS: Jawatankuasa Komuniti Kemas, yang sebelum ini dikenali sebagai Sahabat Komuniti Kemas dan Jawatankuasa Aktiviti Kemas, telah dikemas kini dan diperluaskan peranannya agar lebih berkesan dalam menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar di Sarawak.
Pegawai Kemas Daerah Lawas, Sutinah Ibrahim berkata, Jabatan Kemas sebagai agensi utama di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berpegang kepada visi ‘Penggerak Kesejahteraan Masyarakat Luar Bandar’ serta komited untuk meningkatkan penyertaan masyarakat secara menyeluruh dalam program dan aktiviti pembangunan.
Bagi merealisasikan visi ini, Kemas Sarawak telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Komuniti Kemas yang merangkumi peringkat negeri, Parlimen, DUN dan lokaliti.
“Jawatankuasa Komuniti Kemas merangkumi empat bidang utama yang menjadi teras program dan aktiviti Kemas di peringkat komuniti iaitu Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Tabika/Taska) meliputi lawatan serta program pemakanan, Pembangunan Komuniti (pembangunan insan, keusahawanan, pusat sumber dan literasi fungsian), Pendidikan Kemahiran (jahitan dan masakan, dandanan diri serta kesejahteraan keluarga),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong di pejabat beliau di Lawas baru-baru ini.
Katanya lagi, antara lain program turut melibatkan inisiatif sosioekonomi yang relevan, respons kepada keperluan tempatan termasuk bantuan bencana, program kesihatan komuniti serta sokongan kepada golongan OKU.
Seterusnya Sutinah yakin dengan melibatkan kepimpinan tempatan, wakil komuniti dan agensi pelbagai sektor dalam satu struktur yang teratur dan bertanggungjawab, Kemas Sarawak yakin bahawa jawatankuasa ini akan menjadi tulang belakang pembangunan sosioekonomi komuniti, membantu mengurangkan kemiskinan, meningkatkan literasi dan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak yang pelbagai.
Jawatankuasa Induk Komuniti Kemas Sarawak dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Pengerusi ialah Timbalan Menteri KKDW Datuk Rubiah Wang dan setiausaha ialah Pengarah Kemas Sarawak Taufik Mohd Yusop.
Ahli-ahli jawatankuasa terdiri daripada Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Lukanisman Awang Sauni, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Daro Dr Safiee Ahmad, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Tupong Dato Fazzrudin Abdul Rahman, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Buda dan Ahli-ahli Parlimen daripada 16 kawasan Parlimen di Sarawak.