
BINTULU: Sambutan Hari Gawai Dayak bukan sahaja diraikan sebagai perayaan tradisi masyarakat Dayak, malah terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi berkata, penyertaan masyarakat pelbagai kaum dalam sambutan Gawai Dayak di Bintulu mencerminkan semangat kebersamaan dan keharmonian yang kukuh dalam kalangan rakyat negeri ini.
Menurut beliau, sambutan Gawai Dayak kini bukan sahaja tertumpu kepada budaya dan tradisi masyarakat Dayak, malah menjadi medium meraikan kejayaan masyarakat dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kerjaya.
“Kalau dahulu masyarakat Dayak banyak bergantung kepada penanaman padi, namun kini kehidupan telah berkembang ke pelbagai bidang lain termasuk ekonomi, pendidikan dan kerjaya.

“Gawai Dayak juga menjadi platform untuk meraikan kejayaan anak-anak yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mereka yang dinaikkan pangkat dan masyarakat yang berjaya dalam bidang ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mantar Gawai Dayak Peringkat Daerah Bintulu Tahun 2026 di sebuah restoran di sini, semalam.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju itu, acara Niti Daun yang berlangsung sempena sambutan tahun ini berjaya menghimpunkan lebih 3,000 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk kakitangan kerajaan, NGO, pelajar, pihak swasta serta penduduk rumah panjang dan kampung.
Sementara itu, Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan berkata, sambutan tahun ini dianjurkan berteraskan tema ‘Segulai Sejalai’ yang membawa maksud kebersamaan, kesepaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
Menurut beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Daerah Bintulu 2026, pelbagai aktiviti diadakan sempena sambutan tahun ini termasuk pertandingan nyumpit dan Pertandingan Kumang Gawai yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

Pada majlis sama, Amyer Midey dinobatkan sebagai Kumang Gawai Dayak Peringkat Daerah Bintulu 2026, manakala Emelyn Laing dan Joyce Luna Kut masing-masing muncul sebagai Lulong dan Selinggar Matahari.
Turut hadir, Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti, Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Dato Haidar Khan Asghar Khan, Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Collin Patan.
Oleh Carolyne Utih