
SIBU: Seorang lelaki cedera parah selepas kereta Proton Wira yang dinaikinya terbabas dalam kemalangan kendiri di Jalan Sibu-Bintulu berhampiran jejambat di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5.35 petang itu, mangsa, 24, mengalami kecederaan parah namun masih sedar manakala seorang lagi mangsa, 20, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada seorang saksi yang datang sendiri ke balai bomba.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Wira yang terbabas ke tepi jalan.
“Ketika kejadian, kenderaan itu dinaiki dua lelaki dan seorang daripadanya mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kedua-dua mangsa tidak tersepit dan mangsa yang cedera telah distabilkan terlebih dahulu oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Anggota bomba kemudian mengangkat mangsa menggunakan pengusung sebelum dibawa ke ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, bomba turut menjalankan kerja pembersihan kesan minyak di sekitar lokasi kejadian dan operasi tamat pada 5.58 petang.
Operasi diketuai PBK I Badrulhisham Bujang dengan kekuatan enam anggota serta sebuah jentera FRT.
Turut berada di lokasi ialah empat pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).
Oleh Akun Giman