
LAWAS: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di bilik sewanya di sini pada 4.33 pagi tadi selepas polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, sepasukan polis telah digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki berusia 32 tahun masih terbaring di atas katil di bilik sewa berkenaan.
Mayat mangsa telah dibawa ke Bilik Mayat Klinik Trusan untuk proses bedah siasat.
Siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur khianat atau jenayah di lokasi kejadian. Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR).
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya menyalurkannya segera ke balai polis berhampiran.