KUCHING: Kerajaan Sarawak meneruskan inisiatif Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang dengan sebanyak 61 permohonan baharu di kalangan golongan B40 diluluskan.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan khas itu melibatkan bantuan klinikal dan bantuan sokongan (Mesin, pengangkutan dan transplant).
“Setakat Januari hingga Disember 2020, sebanyak 88 permohonan telah diterima namun daripada jumlah tersebut sebanyak 61 permohonan lulus dengan perbelajaan sebanyak RM420,452.
“Manakala 18 permohonan yang tidak diluluskan adalah disebabkan pesakit telah meninggal, mendapat subsidi rawatan di Hospital Kerajaan, jarak kediaman adalah kurang 30KM, pendapatan keluarga melebihi syarat kelayakan yang ditetapkan dan kos rawatan dialysis dibiayai oleh Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan dan PERKESO.
“Daripada jumlah keseluruhan permohonan tersebut, terdapat sembilan permohonan yang tidak lengkap di mana tiada pengesahan Pakar Nefrologi dan perlu siasatan lebih lanjut tentang keadaan pemohon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Inisiatif Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang di Sarawak di Bangunan Baitulmakmur, di sini, semalam.
Jelasnya, bantuan klinikal dan sokongan tersebut adalah meliputi rawatan untuk penyakit buah pinggan iaitu, pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF) secara ‘one-off’, rawatan hemodalisis, Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan Pemindahan atau Transplan Buah Pinggang.
“Bantuan klinikal merangkumi (pembayaran) pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF) secara ‘one-off’ sehingga RM3,000, suntikan Erythropoietin (EPO) sehingga RM240 sebulan dan rawatan mengikut keperluan sebulan dan hemodalisis maksimum RM200 untuk setiap pesakit setiap sesi rawatan.
“Bagi bantuan pengangkutan pula sebanyak RM50 untuk satu sesi (13 sesi sebulan) dan pemindahan buah pinggang (transplant) adalah sebanyak RM5,000 diberikan secara ‘one-off’ bagi menampung kos pengangkutan dan penginapan ketika menerima rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur,” ujarnya.
Katanya, Rekod daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada 2018 menunjukkan terdapat 3,317 pesakit buah pinggang di Sarawak.
Oleh JEAKQLEYN YACHO