SIBU: Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan makanan dengan melibatkan suntikan dana berjumlah RM5.1 juta keseluruhannya kepada kira-kira seramai 73,000 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bahagian Sibu.
Bahagian Sibu merangkumi tiga daerah iaitu Sibu, Selangau dan Kanowit serta 11 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menyempurnakan upacara simbolik penyerahan bantuan tersebut di Galeri Kompleks Islam Sarawak, Sibu semalam.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bantuan makanan tersebut akan diagihkan selewat-lewatnya pada Rabu (20 Januari) dengan pematuhan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP.
Menurutnya, susulan dengan penguatkuasaan PKP di Bahagian Sibu, Kerajaan Sarawak melalui jawatankuasa kecil telah bermesyuarat pada 18 Januari lalu untuk merangka strategi bagi menyelaras pengagihan bekalan makanan kepada pendudukyang terjejas dengan penguatkuasaan PKP.
“Di peringkat bahagian, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu akan bekerjasama dengan Pegawai Daerah, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum/Kapitan, JKKK dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengenal pasti KIR yang memerlukan bantuan makanan.
“Peruntukan bagi pembelian bahan makanan asas akan disalurkan kepada JPBB Sibu untuk tujuan pengagihan makanan dengan akan dibantu oleh JPBD Daerah Sibu, Selangau dan Kanowit,“ jelasnya pada sidang media ringkas selepas menghadiri simbolik penyerahan bantuan tersebut di Galeri Kompleks Islam Sibu semalam.
Awang Tengah juga memberitahu, Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS sedang mengagihkan bekalan makanan asas dan keperluan lain seperti susu, lampin pakai buang dan tuala wanita kepada kira-kira 700 keluarga yang melibatkan 3,800 orang atau ahli keluarga di 32 rumah panjang.
“Selain itu, makanan bermasak juga diagihkan kepada 52 pertugas barisan hadapan di satu pusat kuarantin dan 46 pertugas barisan hadapan yang bertugas untukmengawal selia sekatan jalan raya di empat lokasi,” ujarnya.
Oleh AKUN GIMAN