
MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri berjaya mematahkan cubaan menyeludup 1,170 karton minuman keras bernilai lebih RM221,000 di perairan Limbang malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, kejayaan tersebut hasil maklumat risikan yang diperoleh pihaknya dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, sebuah bot ronda yang melaksanakan operasi pemantauan rutin berjaya mengesan dan merampas barangan seludup itu sekitar 10.15 malam pada kedudukan 0.1 batu nautika dari barat Jeti Limbang.

“Hasil pemeriksaan menemukan 1,170 karton minuman keras berbalut plastik hitam yang disembunyikan secara tersusun dan rapi dengan nilai anggaran rampasan mencecah lebih RM221,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, minuman keras berkenaan dipercayai ditinggalkan penyeludup yang melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Katanya, kesemua barang rampasan dipercayai untuk diseludup bagi kegunaan pasaran tempatan susulan permintaan tinggi menjelang musim perayaan.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjadikan perairan negara sebagai laluan atau sarang penyeludupan haram,” tegasnya.
Siasatan awal mendapati rampasan tersebut dipercayai berkait dengan aktiviti penyeludupan arak dari negara jiran yang melanggar peruntukan Akta Kastam 1967.
Kesemua barang rampasan dibawa ke Kompleks Ibu Pejabat Maritim Zon Miri untuk proses dokumentasi dan laporan polis sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
Oleh Shahrul Qaizat