KUCHING: Program Homehelp melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mampu menjadi landasan memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat dengan membantu golongan kurang bernasib baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam berkata kewujudan sukarelawan Homehelp terutamanya di bahagian Betong banyak membantu mengatasi kesunyian golongan warga emas di kawasan itu.
“Sukarelawan ini mampu memupuk jalinan kasih sayang bukan sahaja melawat, tetapi bersama-sama memupuk kasih sayang antara golongan yang kurang kasih sayang seperti warga emas dan OKU (orang kelainan upaya) yang memerlukan penjagaan khususnya.
“Malah, sukarelawan juga menjadi mata dan telinga bagi memantau mereka yang masih belum mendapat pembelaan jika kerajaan terlepas pandang.
“Selain itu, sukarelawan berperanan untuk mendaftarkan OKU kerana masih ramai yang belum menyedari terdapat insan yang mengalami autisme dan lembam yang sepatutnya tergolong dalam kategori OKU, bagi memudahkan sistem pembelajaran khusus untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aprisiasi Sukarelawan JKM bertempat di salah sebuah hotel terkemuka dekat sini baru-baru ini.
Program yang telah dianjurkan oleh Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Betong (PSKB) itu adalah bertujuan bagi meraikan sukarelawan-sukarelawan yang telah banyak menyumbang bakti membantu agensi seperti JKM dan menabur bakti dengan masyarakat tanpa mengira wang dan tenaga.
Pada masa sama, Razi turut menyeru kepada JKM dan PSKB amnya, agar memainkan peranan untuk menyalurkan maklumat yang penting kepada masyarakat umum agar bantuan-bantuan yang disalurkan oleh agensi berkenaan tidak di salah ertikan.
“Saya berharap dengan tertubuhnya PSKB, ia sekaligus dapat membantu JKM untuk memastikan warga emas dan OKU terjaga dengan baik dan mendapat pembelaan yang sewajarnya.
“Terima kasih kepada petugas-petugas serta sukarelawan JKM, yang telah menjalankan amanah serta memainkan peranan dalam membantu golongan terbabit,” ujarnya.
Turut hadir Pegawai Kaunseling JKM Betong merangkap mewakili Pegawai Kebajikan Masyarakat Betong, Moh Subhan Kholil @ Holil, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat dan Penyelaras Unit Pembangunan Komuniti Dan Sukarelawan Betong, Dayang Norfitri Abang Sapini, Pembantu Kebajikan Masyarakat Penyelaras Unit PKS Saratok, Siti Awa Joni, Pengerusi PSKB Bahagian Betong, Marini Mohd Matahar, dan Timbalan Pengerusi PSKB, Abang Suhaimi Abang Mohamad.
Oleh ADI SAFARMAN