
IPOH: Pertimbangan permohonan perpindahan guru ‘duka lara’ merupakan antara isu yang diberi keutamaan, bagi memastikan kebajikan guru terus terjaga.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata masalah guru yang mempunyai pasangan jarak jauh, merupakan antara faktor yang paling tinggi dipertimbangkan untuk perpindahan.
Beliau berkata kementerian juga memberi kelonggaran dengan mengurangkan tempoh permohonan iaitu dua tahun sebelum memohon perpindahan.
“Kita memang memberikan keutamaan, sebab itu dalam konteks permohonan untuk perpindahan ini, 80 peratus terkait dengan pasangan yang jarak jauh ini kita selesaikan, selain faktor lain seperti kesihatan dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Anugerah Hari Guru 2026 sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan, di sini hari ini.
Dalam pada itu Fadhlina berkata KPM telah menyelesaikan pelantikan 50 kekosongan guru besar dan pengetua di sekolah seluruh negara.
Beliau berkata perkara itu bagi memastikan semua urusan pentadbiran sekolah termasuk isu keselamatan dan reformasi sekolah dapat dilaksanakan secara efisien.
“Sekolah tidak boleh ya, tidak boleh bergerak, tidak boleh dibina ekosistemnya tanpa kekuatan pentadbir.
“Jadi sebab itu pada peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) kita melihat perkara ini dengan serius dan mengambil langkah untuk mengisi kekosongan ini dengan segera supaya isu-isu termasuk keselamatan dan sebagainya dapat kita atasi dengan segera,” katanya.
-Bernama