KUCHING: Sebanyak 400 bilik daripada tiga hotel tempatan di Sibu bakal dijadikan sebagai pusat kuarantin sejurus selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir kelak.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata, persetujuan penggunaan premis daripada tiga lagi pengusaha hotel ini disambut baik oleh semua pihak.
Katanya, ini adalah salah satu jalan penyelesaian dalam kemelut pusat kuarantin yang terhad di Daerah Sibu hingga mengakibatkan ramai PUS (Person Under Surveillance) terpaksa menjalani kuarantin di rumah masing-masing.
“Setakat ini kita hanya mempunyai 309 bilik daripada tiga hotel yang telah bersetuju digunakan sebagai pusat kuarantin iaitu Hotel Premier, Hotel Kawan dan Hotel Sarawak.
“Hotel-hotel ini digunakan oleh para PUS yang diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari, setibanya mereka di Sarawak menggunakan penerbangan ke Lapangan Terbang Sibu.
“Oleh itu, penambahan sebanyak 400 lagi bilik tambahan daripada tiga hotel lagi ini dapat memudahkan lagi pihak berkuasa memantau Covid-19 di Sarawak, khususnya PUS dari luar negeri yang melalui Daerah (Sibu) ini,” katanya menerusi kenyataan dalam perkongsian beliau di laman media sosial, semalam.
Menurut beliau, pengusaha hotel yang bersetuju melibatkan diri dalam usaha ini adalah merupakan ahli-ahli dari Persatuan Hotel Wilayah Tengah Sarawak.
Tambah Abdul Karim lagi, buat masa ini, tiada penerbangan ke Bandar Sibu dijadualkan sepanjang tempoh PKP berlangsung, kecuali penerbangan dalaman sahaja.
Sementara itu, beliau juga menyarankan agar rakyat memainkan peranan masing-masing dalam usaha membendung penularan wabak ini.
“Baru-baru ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah menguatkuasakan PKP di sebanyak 19 rumah panjang di kawasan Pasai Siong ekoran daripada kes jangkitan yang dikesan sebelumnya.
“Penguatkuasaan ini menyebabkan pergerakan rakyat tempatan di kawasan yang terjejas menjadi sangat terhad, namun ia adalah penting untuk mereka, dan juga kita semua.
“Oleh itu, pihak JPBNS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memerlukan kerjasama daripada kita untuk kekal berdisiplin dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini,” ujarnya.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP