Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WBS
  • Penggunaan Diksi Atau Kata dalam Sajak
  • WBS

Penggunaan Diksi Atau Kata dalam Sajak

Utusan Sarawak 3 weeks ago

LAZIMNYA, sesebuah sajak memerlukan kemahiran seseorang penyair menggunakan kata atau diksi sebagai jalinan ungkapannya. Hal ini selaras dengan kata pujangga bahawa sajak terbina melalui “kata-kata terbaik dalam susunan terbaik”.

Oleh yang demikian, sebagai seorang penyair atau yang menulis sajak, kekuatan utama dilihat pada kemampuannya menggunakan kata sebagai bahasa sajaknya.

Penyair atau penulis sajak mempunyai perbezaan ketara dengan penulis prosa seperti seorang penulis cerpen, novel atau skrip drama.

Mungkin ada yang beranggapan bezanya tidaklah terlalu ketara, tetapi dalam pembentukan gaya atau teknik penulisan, bezanya amat ketara. Perbezaan ini berlaku untuk memberi nilai dramatik pada penceritaannya.

Sebagai contoh, penulis sajak sering mendahulukan kiasan atau simbolik untuk mengutarakan gagasannya. Namun penulis cerpen atau novel lebih mengutamakan naratif pengisahan sebagai sebab dan akibat.

Sajak tidak memerlukan konflik yang rumit dalam konteks cerita, tetapi menekankan prinsip berfikir secara berjalinan untuk pemahaman. Sedangkan cerpen atau novel memerlukan penerokaan cerita untuk membawa pembaca berada dalam episod cerita sehingga merasakan setiap detik sebagai peristiwa.

Kalaupun ada kesamaan dalam konteks naratif kias bagi sajak ialah dialog dalam skrip drama. Hal ini kerana dalam skrip drama, ungkapan langsung tanpa simbol-simbol kata tidak mampu menyerlahkan nada dan rasa konflik itu.

Hanya, pada skrip drama, ungkapan diungkapkan mengikut emosi, sebaliknya sajak mencetuskan emosi pada setiap kata yang digunakan.

Secara teorinya, seseorang penulis sajak perlu membaca sebanyak mungkin sajak orang lain serta membaca juga perkembangan ilmu secara menyeluruh.

Membaca sajak orang lain akan memberi ilmu perbandingan kepada penulis sajak untuk menilai secara tuntas kemampuan, kepelbagaian dan keunikan seseorang penyair membina dan mencipta ungkapan.

Membaca perkembangan ilmu penting untuk seseorang penulis sajak menyaring dan memperkatakannya dalam konteks yang sesuai dengan kaedahnya dalam membina, menghasilkan dan  mencipta sajak dengan cara fikirnya.

Sebagai contoh, isu paling universal ialah cinta. Bahkan, isu cinta merupakan isu yang sejak dahulu sehingga pada bila-bila masa pun akan terus dibicarakan dan diperkatakan dalam karya.

Namun, bagaimana membezakan isu cinta yang diperkatakan secara klise dan dibicarakan secara segar?

Dalam konteks inilah perbincangan kita akan dilaraskan, iaitu tentang kebijaksanaan seseorang penulis sajak memanfaatkan keupayaannya memilih kata untuk dijadikan sebagai ungkapan dalam bahasa sajaknya.

Kebijaksanaan ini bukan hanya terdapat pada isu, tetapi bagaimana isu berkaitan dapat diutarakan dengan sebaik mungkin untuk dibaca dan dihayati oleh pembaca.

Perbincangan kita hanya berkisar pada penggunaan kata yang digunakan oleh penulis sajak dalam sajaknya. Kita tidak akan menyelongkar secara serapan teori sama ada pada tanda dan penanda atau gaya serta stailnya.

Tetapi kita akan merinci perbincangan dengan mencari rasional penggunaan kata atau diksi berkenaan. Paling penting, apakah penggunaan diksi atau kata itu terjalin murni atau berlaku ketidakselarasan pemaknaannya.

Kita akan membincangkan tiga buah sajak yang tersiar dalam ruangan ini pada minggu lepas. Sajak tersebut ialah sajak “Meniti Waktu” nukilan Hazwan Mohd. Nani. Sajak kedua berjudul “Pada Sempurnanya Akal yang Satu” nukilan Nurfaizatul Aisyah.

Sajak ketiga berjudul “Rayu Sekuntum Layu” nukilan Shafida Rosllan. Ketiga-tiga sajak ini mempunyai isu yang cuba dibina sebagai sajak yang membawa gagasannya tersendiri.

Sajak “Meniti Waktu” merupakan sajak luahan hati tentang kehidupan. Penulis sajak ini melihat kehidupan secara terlalu ideal. Seakan kehidupan ini begitu melingkari pencariannya tentang makna hidup itu sendiri.

Pada judul pun, penulis sajak ini telah memberi satu gambaran bahawa hidup ini diteruskan seperti mana waktu yang tiada hentinya kecuali kematian.

Untuk kita memahami setiap diksi atau kata digunakan, mari kita teliti dari satu rangkap ke satu rangkap. Rangkap pertamanya, jelas penggunaan kata atau diksinya penuh ciri-ciri bombastik.

Bayangkan ungkapan “embun jatuh menyapa bumi” sebagai satu interpretasi melalui kata atau diksi “embun”. Secara logiknya, embun hanya cecair yang ringan setelah terkumpul pada setiap daun-daun lazimnya. Apakah perlu seluas “bumi”? Perhatikan keseluruhan sajak ini.

Embun jatuh menyapa bumi,
sejuk menyentuh jiwa kelam,

dinginnya membalut minda terkesima,
menghidupkan benih harapan lama.

Mulanya embun menyelimuti alam,
pagi membuka tirai cahaya,

lantas mentari bangkit menebar emas,
menghalau kabus derita semalam.

Wahai hidup, walau berliku,

akanku gagah meniti waktu,
masih tersisa seri cahaya,
menjadi suluh perjalanan dunia.

Pertanyaan ini penting untuk memastikan setiap kata atau diksi digunakan akan mewakili sebuah cerita yang mampu menganjak pemikiran. Bukan kerana faktor kejutan di luar konteks kerasionalan.

Begitu juga dengan ungkapan baris kedua “sejuk menyentuh jiwa kelam”. Embun tidak menyejukkan. Ini berbeza kalau kata atau diksi “hujan” digunakan untuk “menyapa bumi” serta sifatnya pasti menyejukkan.

Pada rangkap kedua, ungkapan “lantas mentari bangkit menebar emas” yang dijalinkan dengan “menghalau kabus derita semalam” seakan-akan tidak terjalin murni kerana ciri “embun” menjadi “kabus” hanya membina kekeliruan.

Tidak salah digunakan tetapi tidak sesuai disatukan. Pemula rangkap pertama “embun jatuh menyapa bumi” dan pemula rangkap kedua “mulanya embun menyelimuti alam” merupakan dua situasi yang tidak rasional dalam konteks sebagai sebuah cerita.

Rangkap ketiga agak langsung sifat ungkapannya tetapi lebih harmoni dalam penceritaannya. Ungkapannya terbina melalui kata yang lunak dengan diksi “wahai” sebagai jalinan tentang “hidup” kemudian ditanggapi dengan yakin “walau berliku”.

Ungkapan sebegini lebih jernih untuk membawa emosi kerana kejelasan unsur pemaknaan cerita. Sekadar cadangan atau penambahbaikan pada rangkap pertama sajak ini;

Embun menyapa dedaun

seakan menyentuh beban jiwa

dinginnya menitip minda kesima

dan terasa segar membenih harapan

Sajak kedua yang akan kita bincangkan berjudul “Pada Sempurnanya Akal yang Satu”. Judul ini agak menarik kerana mempunyai simbolik pada setiap kata yang membina judulnya.

Sajak ini seakan-akan bertemakan keagamaan dengan menyelit elemen sains untuk memberi pemaknaan ceritanya. Penggunaan kata yang drastik seakan-akan merumitkan cara penceritaan. Perhatian keseluruhan sajak ini.

Pada sempurnanya akal yang satu

memanusiawi (memanusiakan) kau, aku, kita,

ada gemerlapan bintang malam.

berkerdip tanpa lelah menghiasi cakerawala.

Pada gemersik (gemeresik) bisikan kenangan,

ada hipokampus (di bahagian otak – lobus temporal) menuai memori,

memetik semantik,

agar kau masih insan,

tidak terpuruk seperti asalnya nisyan (lupa atau lalai).

Pada pantasnya garapan puisi,

ada percikan neuron berdansa.

merangkai simfoni.

terpancar laksana bintang malam,

menukil cahaya buat akal yang berfikir.

Sajak ini hilang fokus cerita kerana penggunaan kata yang dijalinkan secara langsung tanpa ada pemaknaan yang mampu menyerlahkan gagasan utama ceritanya.

Selain menegur tentang “akal”, sajak ini sekadar meluahkan setiap episod secara melulu. Situasi ini menjadikan sajak ini tidak kemas dan tersusun, sedangkan isunya menarik sekiranya ditekuni dengan diksi atau kata yang sesuai.

Sebagai contoh, rangkap pertama, ungkapan “memanusiawi (memanusiakan) kau, aku, kita” tidak menampakkan kewibawaan kata atau diksi yang digunakan. Ungkapan sebegini perlu ada kesan dramatiknya.

Sebagai contoh, diungkap “adalah memanusiakan kau, juga aku dan juga kita”. Ungkapan semacam dialog akan memberi ritma emosi pada pengungkapannya. Ritma ini akan menjadikan sajak mempunyai rentaknya tersendiri.

Rangkap kedua sajak ini menggunakan diksi atau kata “hipokampus” yang merupakan istilah pada bahagian otak. Tetapi penggunaannya tidak harmoni dan seperti sengaja digunakan untuk menampakkan kesan kelainan, tetapi tidak kesampaian.

Begitu juga diksi atau kata “nisyan” sebagai istilah pinjaman. Penggunaannya agak asing dan boleh menyebabkan kekeliruan pembacaan. Sekadar cadangan penambahbaikan pada rangkap kedua ini;

Gemersik bisikan kenangan,

menyinggahi silam menuai ingatan,

memetik semantik memori,

agar kau, aku dan kita tetap insan,

tidak terpenjara dalam kelalaian

Cadangan penambahbaikan itu sekadar menyesuaikan penggunaan kata atau diksi dalam sajak. Bukan suatu kemestian untuk dijadikan kepastian kerana sajak merupakan karya yang boleh dilihat dalam pelbagai sisi sama ada membacanya atau menciptanya.

Perkara ini terserlah pada rangkap ketiga sajak ini. Ungkapan “pada pantasnya garapan puisi/ada percikan neuron berdansa” agak berbeza dengan ungkapan yang lain. Ungkapan yang kemas dan penuh tersirat pemaknaan.

Begitu juga dengan ungkapan “terpancar laksana bintang malam/menukilkan cahaya buat akan yang berfikir”. Agak langsung tetapi mempunyai fungsi pemaknaan untuk mencari gagasannya, iaitu secara literalnya, yang mahu berfikir pasti beroleh cahaya.

Sepatutnya rangkap pertama dan rangkap kedua sajak ini dibina seperti rangkap ketiga untuk memperlihatkan wibawa sajaknya sesuai dengan judul.

Sajak seterusnya berjudul “Rayu Sekuntum Layu”. Berdasarkan judul, sajak ini melakukan retorik yang menarik. Penggunaan diksi atau kata “rayu” dijalinkan dengan “layu” kerana ritmanya.

Namun, penggunaan diksi atau kata “sekuntum” seolah-olah menjelaskan “watak” dalam cerita sajak ini. Mari kita sama-sama meneliti keseluruhan sajak ini.

Sekuntum bunga mekar 

sejahtera kerana akar

rona remajanya mulus

kelopaknya mewangi tulus…

Sayangnya duri-duri dengki

memijar dari batangnya sendiri 

hingga cedera bahaya 

merenggut nafas usia…

Tiada sekelumit prasangka 

dari sela-sela 

dedaunan setia manja

demi polosnya sebelum layu

kini melampiaskan rayu

dari kekeringan nan kaku.

Sajak “Rayu Sekuntum Layu” berkisar tentang ingatan dan pesanan, khususnya kepada wanita. Ingatan dan pesanan ini menggunakan kata atau diksi secara simbolik dengan situasi bermula remaja sehingga dewasa.

Penggunaan yang tepat akan memberi falsafah yang baik. Sebagai contoh, ungkapan “sekuntum bunga mekar/sejahtera kerana akar” amat murni dan terjalin indah.

Diumpamakan bahawa seorang anak yang “mekar” memerlukan didikan atau asuhan ibu bapa berupa “akar” yang betul.

Kemudian, ungkapan dijalinkan dengan “rona remajanya mulus/kelopaknya mewangi tulus” menjadikan rangkap pertama begitu tersusun kemas dengan pemilihan kata atau diksi yang wajar dan wibawa.

Pada rangkap kedua, ada sedikit kekeliruan apabila ungkapan “memijar dari batangnya sendiri” hasil “duri-duri dengki”. Dua ungkapan berkenaan menimbulkan satu ingatan keras “hingga cedera bahaya/merenggut nafas usia”.

Ada dua pemaknaan dilakukan oleh penulis sajak ini, iaitu sama ada kerana kealpaan atau kelalaian diri watak atau suasana yang membawa watak berada dalam situasi yang “bahaya” itu.

Kemampuan sajak ini menimbulkan ambiguiti boleh jadi baik dan boleh juga jadi tidak baik. Yang baiknya adalah apabila rangkap seterusnya memberi pemaknaan yang seiringan dan selaras dengan penceritaannya.

Yang tidak baiknya pula adalah apabila rangkap seterusnya membina “bab” lain dalam cerita sajaknya. Dalam hal ini, rangkap kedua tergantung dengan ingatan tegas tanpa ada fokus.

Rangkap ketiga hanya sebagai pesan bahawa “tiada sekelumit prasangka” melalui “dedaunan setia manja”. Hanya penggunaan kata atau diksi “polos” yang menyelinap dalam ungkapan “demi polosnya sebelum layu” membuka ruang fikir lain tentang arah cerita sajak ini.

Seakan-akan puncanya “kini melampiaskan rayu” bermula dengan kata atau diksi “polos”. Mungkin kelebihan penulis sajak ini menyembunyikan ingatan dan pesan atau terperangkap untuk menentukan kata atau diksi yang boleh membawa pemaknaan yang lain.

Tahniah kepada ketiga-tiga penulis sajak yang kita bincangkan pada kali ini. Mereka sudah mampu memilih kata atau diksi dengan pemahaman mereka meskipun belum tuntas untuk menentukan kelancaran dan keharmonian kata atau diksi dalam penceritaan sajak.

Proses ini memerlukan penaakulan terhadap setiap kata atau diksi yang digunakan. Ketepatan penggunaan kata atau diksi bukan sahaja pada ritmanya tetapi juga kewajaran maksud atau maknanya agar mampu menyerlahkan wibawa ungkapan yang menjadi naratif pada sajak yang dicipta.

Oleh Ja’afar Haji Hamdan

Continue Reading

Previous: Lelucon
Next: Belajar Menulis daripada Lelucon: Plot, Emosi dan Kemanusiaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.