‘‘Kualiti penulisan seseorang secara tidak langsung akan berhubungan dengan tahap pemahamannya mengenai sikap manusia.’’ –
Bong Joon Ho, pengarah filem Korea Selatan.
SEBELUM memasuki dan mengulas naskhah yang dibicarakan, saya teringat sebuah cerpen karangan Jorge Luis Borges, August 25, 1983, yang menjadi kegemaran peribadi. Bahkan ada beberapa lagi cerpen yang hampir ditulis dengan pendekatan sedemikian oleh maestro dari Argentina itu. Subjeknya ialah masa.
Makhluk ajaib ciptaan Tuhan. Ia bukan masa yang terukur pada jarum jam di tangan. Tetapi sesuatu yang tidak akan mampu ditentukan oleh mana-mana mesin rekaan manusia. Ia bukan hidup seperti makhluk. Bahkan abstrak dan ajaib. Masa tidak perlu menonjolkan dirinya. Sebagaimana ciptaan Tuhan yang lain, ia terikat kepada keizinan Pencipta.
Kembali kepada naskhah karangan Jorge Luis Borges. Watak utama yang masih muda bertemu dengan dirinya yang telah pun berusia secara langsung dan berbual-bual tentang keadaan diri mereka, dari masa lalu dan terkini. Secara bersahaja, tiada berlebihan dan seakan-akan normal.
Watak utama muda dan watak utama yang sudah tua, yakin saat itu mereka bukan berilusi atau berada dalam mesin masa. Wajah, karakter dan pekerjaan yang mereka lakukan selama ini seolah-olah tampak bukan nyata.
Sementara situasi yang mereka lalui pada masa itu juga seolah-olah lebih realistik berbanding alam fiksyen yang menaungi mereka. Ia sebuah cerpen melangkaui takrifan cerpen konvensional. Mengganggu tahap spirituil pembaca.
Tiada yang asli dalam karya seni. Namun Budi Darma (Harmonium, 1995) mengatakan, ‘‘pengarang yang baik dapat menulis karya tersendiri dengan kekhasan tersendiri, meskipun masih dalam ruang lingkup tradisi zamannya.’’
Pengaruh dan dipengaruhi bukan hal yang menjelikkan dalam kerja kepengarangan. Maka, kita melihat penulisan karya sastera tempatan kadang-kadang hampir sama pola dan tekniknya.
Apa boleh buat, pengarang generasi baharu beruntung kerana limpahan karya asing mudah didapatkan, baik dalam bahasa asal mahupun terjemahan.
Kelebihan sebegitu membuka luas pintu sastera luar dan sedikit sebanyak terdedah dengan gaya pengucapan pengarang tempatan terikut dan cenderung untuk mengaplikasikan bentuk ekspresi yang dianggap baharu dan kontemporari.
Dan di situlah teruji sejauh mana keupayaan seseorang pengarang berkarya dari sudut pandangannya sendiri dalam ruang lingkup tempatan.
Namun jika seseorang pengarang ingin membina pengucapan baharu, lebih peribadi dan menentang gaya lama, tetap juga ia masih berada dalam atmosfera yang sama. Ia pekerjaan berantaian.
Apa yang dilakukan oleh Virginia Woolf dan James Joyce adalah lanjutan daripada kerja penulisan misalnya Dujardin Edouard, Robert Walser dan Fyodor Dostoevsky.
Sementara penulisan realisme magis sudah lama diaplikasikan bukan lagi untuk menyindir penguasaan pihak kolonial, tetapi lebih kepada gambaran mikro tentang situasi kehidupan mutakhir yang semakin rencam dan aneh.
Pada persimpangan antara teknik, pengucapan, pertukangan dan falsafah kesenian yang semakin rencam serta canggih, di manakah para pengarang tempatan meletakkan tujuan dan matlamat sebenar penulisannya?
Firdaus Dahlan menghasilkan sebuah penulisan tentang dirinya sebagai pengarang di sebalik naskhah yang memang ditulis olehnya – watak protagonis. Ia tidak ubah seperti metafiksyen. Subjeknya juga tentang masa dan keajaiban masa yang diulangi dengan tujuan membangkitkan kenangan watak utama. Atas alasan apa pun, “Cerita untuk Masa Depan” terhasil daripada inspirasinya sebagai pengarang.
Apa-apa yang dikisahkan membayangkan suasana dan keadaan pada masa depan nanti. Cerita di dalam cerita daripada naskhah itu, sekadar pelantar untuk menempatkan suara hatinya melalui karya kreatif.
Naskhah itu mendedahkan bahawa watak utamanya sering terbabas ketika mengarang, sukar membezakan yang manakah ilusi dan hakikat. Adakah kisah diceritakan Maya, watak perempuan dalam naskhah dan dunia nyata, berasingan?
Atau sebetulnya imaginasi semata-mata sebagai tarikan dramatik? Tetapi, pengarang sedar, objektif penulisan naskhah.
Tiada istilah realiti dan fantasi dalam karya seni, kerana sememangnya ia merupakan unsur-unsur yang melengkapkan kerja penulisan kreatif. Ia membezakan prosa biasa yang diaplikasi dalam bidang bukan kreatif.
Malahan kenyataan harian yang berlaku dalam kehidupan manusia lebih dahsyat berbanding yang termampu diterjemahkan ke dalam bentuk karya fiksyen. Realiti dalam dunia fiktif, tidak jauh bezanya dengan kenyataan harian.
Jika tidak, dari sudut mana seseorang pengarang menghadirkan idea, gagasan, cerita ke dalam naskhah? Semata-mata imaginasi? Cerpen, sajak dan novel misalnya – dibina naratifnya daripada pemerhatian seseorang seniman.
Proses seterusnya ialah memindahkan senario dan fikirannya ke dalam teks. Lalu, adakah pengarang diumpamakan sebagai peniru kehidupan? Saya tidak berminat untuk menyebut apa yang sudah lama diperkatakan oleh Plato.
Sebuah naskhah yang baik, tidak peduli sama ada pengarang itu berkhayal atau menyatakan fakta yang benar. Kualiti penulisan dirujuk kepada penghasilan naskhah dengan sebaik mungkin.
Bahkan ada yang mengatakan bahawa perwatakan lebih penting berbanding pembinaan plot. Lagi pula, jarang pengarang menulis secara langsung setiap butiran peristiwa tanpa diselitkan unsur-unsur seni yang lain.
Realiti, sebaliknya, muncul di balik lapisan kisah-kisah yang berbaur dengan sureal dan fantasi. Seno Gumira Ajidarma mengatakan bahawa segala idea cerpen-cerpenya datang secara tidak langsung daripada pekerjaannya sebagai wartawan.
Bukan duduk termenung di tepi tasik menunggu ilham menjelmakan diri. Bayangkan novel setebal melebihi 800 halaman dikarang Karl Ove Knausgard tanpa sebarang aksi, mimpi, keinginan, bisikan dalaman dan fantasi daripada narator, tidakkah ia membosankan?
Apa yang terakam dalam mana-mana karya tetap sahaja menyangkut tentang hal-hal manusia dan permasalahan yang dihadapi mereka. Ya, kerana pengarang seorang manusia.
Naskhah yang mengaitkan latar peribadi seseorang pengarang sebagai narator dan menyamar di sebalik alter ego, kini menjadi gaya, aliran kegemaran dan kecenderungan dalam fenomena kesusasteraan, sejak dahulu hingga kini.
Aku, sebagai pencerita terasa lebih bebas, jujur dan organik buat pengarang memudahkan apa yang hendak ditulis daripada isi kepalanya. Watak narator mewakili karakter dan suara dalamannya.
Tidak ada yang melarang, bahawa karya sastera harus begini dan begitu, barulah dianggap sebagai sebuah penulisan kreatif yang terutama. Tetapi, tidak semuanya harus diluahkan secara per se.
Sedikit pendustaan akan dijadikan dekorasi untuk memungkinkan sesebuah karya itu berlapis, ambiguiti, mengembangkan makna terlindung dan memperkaya tekstur penulisan.
Babak pertemuan, ini sesungguhnya memang dirancang, seorang perempuan bernama Maya muncul dan kemudiannya menjadi rapat dengan pengarang – diberi nama Ilham Pujangga.
Konon pertemuan itu mengejutkan watak utama, kerana, sebagai pengarang penyendiri, dia tidak sering menonjolkan diri di khalayak ramai. Sedangkan Maya yang muncul bagai dari alam kayangan, mengenali Ilham Pujangga, seorang pengarang novel.
Sudah tentu sahaja Maya melakukan sedikit kerja rumah, menyelidik dan menyiasat sifat dan karakter watak utama. Menurut watak utama, Maya bukan watak jelmaan, rekaan, malahan sesungguhnya wujud secara zahiriah di alam nyata.
Dan Maya juga menjadi watak yang nantinya diabadikan dalam novel Ilham Pujangga. Hal itu sangat besar maknanya. Jalinan dunia nyata dan imaginasi hampir tidak wujud dalam naskhah. “Cerita untuk Masa Depan” ialah cerita yang hendak disampaikan oleh Maya kepada watak utama – pengarang naskhah.
Manakala pada babak kedua, misteri watak utama dan kewujudannya diceritakan dengan menekankan kesan kejanggalan buat pembaca. Antara dunia nyata, alam fiksyen dan ilusi, semuanya sudah tampak selari dan normal dalam naskhah sastera.
Pandangan dan perspektif watak utama menjadi kabur serta terkeliru. Dejavu? Tidak. Di manakah dia sesungguhnya? Bukan seorang, tetapi dua orang lelaki yang menyerupai watak utama berada dalam kereta dan sedang terseksa akibat kemalangan kereta.
Adegan kemalangan itu mengheret kepada dimensi yang lain pula. Fasa kehidupan dan sejarah peribadi terungkai satu demi satu. Watak utama tersentak, memori ketika hidup bersama-sama dengan keluarga menjerut perasaannya kini.
Aliran cerita dibelok kembali ke masa silam. Malahan watak Maya yang muncul mengejut, mengundang seribu macam persoalan. Adakah Maya yang muncul secara tidak diundang, sesungguhnya kekasih kepada abang kembarnya, Izham? Kekasih yang sering dicerita oleh abangnya, Izham.
Tambah memilukan, Maya yang menjadi inspirasi buat Izham menulis novel-novel cinta, namun tidak kesampaian. Lalu, apa tujuan Maya hadir kembali ke masa kini?
Watak utama rapat dengan abangnya, Izham, segala rahsia dikongsikan bersama-sama. Dan sebaik sahaja abangnya mula menunjukkan tingkah laku yang berlainan daripada sebelumnya, watak utama merupakan orang paling awal mengesani perubahan.
Sudah tentu ada kaitan dengan keadaan hubungan dengan kekasihnya. Urusan emosi adalah hal yang paling rumit dan kompleks.
Cemburu, terasing dan jengkel. Kemudian tragedi kemalangan berlaku, persis yang baru dilihat watak utama bersama-sama dengan Maya. Dalam usaha untuk mengurangkan bebanan perasaan abang kembarnya, watak utama mengajak abangnya untuk melihat gelombang benak di Pesta Benak, Sri Aman.
Sudah ketentuan, kereta yang dipandu watak utama merempuh sebuah lori semen sebelum melanggar pokok ketapang di tepi jalan. Adakah mimpi? Logikkah peristiwa dahulu berlaku buat kali kedua di waktu yang berbeza? Dalam dunia sastera, ia hal biasa.
Demikianlah imbasan kejadian tujuh tahun lalu yang diingati watak utama. Semua ahli keluarganya terkorban, hanya watak utama terselamat. Dan, Maya, kerana watak itu penting untuk watak utama.
Maya menjadi benang halus yang menyambung ingatan watak utama kepada kejadian masa lalu, dan Maya juga ialah personaliti istimewa buat abang kembar narator. Dialog yang dilontarkan watak utama mengenai kewujudan Maya adalah kunci penting kepada naskhah itu.
Siapa Maya sebenarnya? Adakah dia watak ciptaan? Hal-hal itu sudah pasti dijangka Maya akan didebatkan. Namun Maya sedar, bahawa lambat-laun dia juga akan datang menjengahkan diri kepada watak utama.
Hanya menunggu masa detik yang sesuai. Dialah sesungguhnya pencetus inspirasi kepada watak utama menjadi pengarang.

Konon watak utama ingin menjadi pengarang, dengan menyembunyikan identiti diri, sebagai usaha untuk membebaskan diri daripada gamitan tragedi yang berlaku tujuh tahun lalu.
Menurut narator: Menulis sebagai simbol kebebasan. Dengan menulis, kesedihan boleh dilupakan. Jelas ia suatu pendustaan. Watak utama masih berada dalam pasir jerlus dan terbenam dalam labirin kenangan yang mengerikan untuk dikenang.
Watak utama yang turut rasa terpukul, berusaha untuk menguatkan semangat abangnya. Dahulu, pada awal hubungan abangnya dengan kekasih hati, watak utama disentakkan dengan kecemburuan.
Hubungan “aku” dengan abang kembar sudah tentu kian renggang kerana tumpuan sudah tidak kepadanya. Sudah ketentuan, niat tulus untuk menghapuskan beban kelukaan dalam hati abang sendiri berakhir dengan insiden yang menyayat hati.
Dalam masa yang sama, Maya muncul menyelinap semula dalam fasa kehidupan pasca kemalangan. Watak utama sukses dengan minat menulisnya. Luka dan kesedihan meresap semula dalam jiwa watak utama.
Mengapa, mengapa Maya harus muncul tanpa rasa bersalah? Tidakkah cukup dia selama ini menghancurkan hati abang kembarnya? Demikian, watak utama yang kembali terbelenggu dengan kisah silam, mempersoalkan Maya, siapa dirinya; watak fiksyen atau sesungguhnya manusia nyata.
Dan dari sinilah – naskhah ini menemukan isi sebenar mengapa “Cerita untuk Masa Depan” dituliskan – sebagai ingatan dan cita-cita abang kembarnya Izham yang tidak tercapai.
Di sinilah sastera disuntikkan dengan ilusi, imaginasi dan dunia yang nyata terbelit dalam alam khayalan. Watak Maya dicipta khusus untuk watak utama meneruskan naratifnya di alam fiktif. Bukan Izham yang memerlukan Maya.
Suatu perkara yang terlepas di sini, apakah punca hubungan Maya dan abang kembar watak utama putus? Hal ini agak mengecewakan. Tiada sebab dan alasan – hubungan romantik terlerai begitu sahaja.
Bagai kapal terbang berlepas ke udara dan meninggalkan para penumpangnya dalam keadaan kebingungan. Disebabkan itulah abang watak utama, Izham tersadai dihempas kekecewaan.
Sikap dan semangatnya meluntur. Watak utama memang maklum, abangnya memang berniat untuk mengarang novel dan menjadikan kekasihnya, Maya sebagai watak istimewa.
Permata hati dan pengarang jantung. Hujan tidak dan ribut pun tidak, segala yang dihajati Izham berkecai. Lalu apa tujuannya Maya memberanikan diri muncul semula dan menceritakan kisah cinta yang melukakan hati abangnya?
Menyatakan sokongan moral kepada watak utama yang telah berjaya menjadi pengarang? Konon apa yang dikarang oleh watak utama sejajar dengan keinginan abang kembarnya.
Pada bahagian akhir cerita, narator membiarkan situasi menjadi tergantung. Hal itu sangat menarik kerana ia menimbulkan pertanyaan kepada pembaca. Cerita tidak disudahkan seperti yang selalu dipersembahkan, tetapi pembacalah yang bakal meneruskan naratif dalam fikiran masing-masing.
Adakah watak utama meneruskan percintaan dengan Maya yang dahulu kekasih kepada abang kembarnya sendiri? Bagaimana dengan kisah abang kembarnya? Terganggu jiwa batin akibat tindakan Maya.
Sudah tentu wujud rasa dilema, keliru dan janggal. Segala ketidakpastian itu akan terungkai pada penghujung novel Cerita untuk Masa Depan.
Novel yang pada awalnya ingin ditulis oleh Izham, dan kini, atas alasan untuk berasa bebas daripada penderitaan dan kesedihan, watak utama melanjutkan impian tergendala itu.
Tidak semata-mata demi penghargaan kepada Maya, namun kepada kehendak dunia dalamannya sendiri. Jiwa seseorang pengarang dan realiti yang menghidupi nalurinya dalam urusan pengkaryaan naskhah kreatif.
Oleh Roslan Jomel





