APABILA membuat penelitian terhadap sesebuah sajak, selalunya usaha lebih tertumpu untuk memahami aspek intelektualisme dan nilai ilmunya. Namun pada masa yang sama, keintelektualan atau keilmuan dalam sajak tersimpul dalam pengungkapan yang asasnya pemakaian bahasa yang terpilih untuk membentuk naratif sajak itu sendiri.
Sebenarnya, sajak boleh menjadi medium untuk mendidik masyarakat melalui bahasa tersurat dan tersirat. Tetapi sebahagian daripada masyarakat beranggapan bahawa sajak hanya sebagai sesi meluahkan perasaan melalui kata-kata.
Hal ini mungkin terjadi kerana sajak terlalu polos dalam pelbagai aspek tentang sifat sajak yang sebenarnya.
Tujuan penghasilan sajak yang membawa sekali tema, persoalan dan pengajaran menjadi tunjang utama untuk menyampaikan mesej dan pemikiran kepada masyarakat atau pembaca agar menikmati kelunakan bahasa dengan pemaknaan yang penuh daya fikir, emosi dan perlambangan. Oleh yang demikian, sajak tidak wajar menjelma dalam sifat prosa yang keterlaluan.
Bagi menghasilkan penulisan sajak yang bermutu, sajak perlulah memiliki keseimbangan antara bentuk luaran dengan bentuk dalamannya. Keseimbangan inilah yang memperlihatkan keindahan bahasa dan kewibawaan makna pada sesebuah sajak.
Bentuk luaran yang membina sesebuah sajak adalah seperti baris, bunyi, pemilihan kata, bahasa figuratif, kata konkrit, kata abstrak, penyimpangan bahasa dan tipografi.
Struktur dalaman sajak pula yang merujuk kepada tema, perasaan, nada atau sikap dan mesej. Tema ialah idea utama yang hendak disampaikan oleh seorang penyair dalam sesebuah sajak.
Tema keagamaan, tema kemanusiaan, nasionalisme, ekonomi dan politik merupakan antara tema yang biasanya diketengahkan dalam sesebuah sajak.
Demikian pula suasana dan perasaan penyair seperti sedih, gembira, benci, marah, simpati dan sebagainya juga dapat dihayati oleh pembaca menerusi bait-bait kata dalam sajak yang dihasilkan.
Sikap penyair seperti mengejek, menasihati, berpesan ingatan, dan menceritakan sesuatu kepada pembaca juga terserlah dalam sajaknya.
Sementara mesej merupakan perkara yang mendorong seseorang penyair tersebut menulis sajak untuk disampaikan kepada khalayak pembaca menerusi mesej yang tersirat di sebalik tema yang diungkapkan dalam karyanya.
Sajak dianggap sebagai keindahan bahasa yang sempurna apabila memiliki ciri-ciri puitis.
Sajak disebut puitis apabila karya itu membangkitkan perasaan, menarik perhatian, menimbulkan tanggapan yang jelas sehingga mampu menjentik rasa keharuan pembaca melalui pemilihan kata yang membina ungkapan yang baik dan meyakinkan. Ungkapannya penuh nilai rasa bukan sahaja dramatik tetapi juga pemaknaannya.
Oleh yang demikian, sajak mementingkan keberkesanan pengucapan atau pengungkapan melalui pemilihan dan pemakaian kata-kata yang saling menumpang dan terjalin menurut erti dan ritma.
Sebab, sajak merupakan karangan berangkap yang mengandungi susunan bahasa yang istimewa, menarik, elok, indah, imaginatif, kreatif dan mempunyai makna yang tersurat dan tersirat dengan jumlah perkataan yang minimum atau sesuatu bentuk pengucapan atau pengungkapan yang memiliki pemikiran, susunan perkataan yang istimewa daripada ucapan yang digunakan sehari-harian.
Sajak dikatakan sebagai karya sastera yang sangat puitis dan sarat dengan unsur estetika kerana aspek puitis yang menghadirkan estetika itu membezakan sajak yang puitis dengan sajak berunsur prosa.
Penciptaan sajak bertujuan untuk menciptakan kepuitisan atau memperlihatkan imaginatif yang puitis secara realisme . Sajak menjadi indah kerana kehadiran puitis di dalamnya.
Sajak itu sendiri adalah hakikatnya keindahan yang menjelma dalam kata-kata untuk memberi makna.
Mari kita sama-sama melanjutkan perbincangan tentang unsur prosa dan unsur puitis dalam sajak melalui tiga buah sajak yang telah disiarkan dalam ruangan ini pada minggu lepas.
Sajak tersebut ialah “Roket” nukilan Abdullah Al-Qayyum, “Lara Hati” nukilan Nurfaizatul Aisyah dan “Feri Seribu Cerita” nukilan Dahlia Bujang.
Sajak pertama berjudul “Roket” merupakan sebuah sajak yang penuh ambiguiti dalam konteks temanya. Penulisnya seakan-akan bercerita tentang keberadaan sebuah subjek bernama Roket yang melalui proses kewujudannya.
Pada waktu yang sama, pengisahan Roket mengisi elemen sains dan teknologi. Atau, sedikit sinis dengan mengaitkannya lambang Roket dengan sebuah kepartian.
Tahniah kepada penulis sajak ini kerana mampu mengetengahkan perihal yang biasa tetapi menjadi luar biasa untuk dihayati.
Walau bagaimanapun, pengucapan dan pengungkapan dalam sajak Roket jelas lebih mengutamakan laras prosa untuk membina sajaknya. Penggunaan kata tidak begitu harmoni, seakan-akan hanya cenderung untuk menyatakannya secara tersurat tanpa mengambil kira hal-hal yang tersirat.
Kecenderungan ini menjadikan sajaknya agak drastik, sedikit kaku tanpa ritma yang murni dan memaparkan luahan yang langsung. Perhatikan keseluruhan sajak ini;
Langit malam pecah berderak,
besi bernyawa mula memberontak,
api yang menjilat buntut angkasa,
asap membumbung bagai dosa,
bumi yang bergegar menanggung ledak.
Di kokpit sunyi bersarang tekad,
mata manusia menentang sempadan abad,
graviti bagai diratah oleh keberanian,
sedangkan ketakutan menjadi korban,
pada cita-cita yang terlalu nekad.
Roketnya meluncur memecah awan,
bagaikan tombak dewa pulang ke kayangan,
bintang-bintang tunduk memerhati,
tatkala manusia cuba tuk mengerti,
rahsia semesta ciptaan Ilahi.
Di balik dentuman gemilang,
ada jiwa yang hangus berperang,
saintis, pemimpi dan para pendosa,
bergadai lena demi ambisi,
sedang dunia terus riuh dengan kacau bilau.
Roket itu terus mendaki,
meninggalkan bumi yang penuh iri,
antara ilmu dan kemusnahan,
antara takjub dan ketakutan
manusia tetap hamba kepada fantasi sendiri.
Pengungkapan dalam sajak yang selalunya terlalu didorong oleh paparan tanpa tujuan akan membuka kecacatan dalam penyusunan kata-kata yang digunakan.
Sebagai contoh, dalam rangkap pertama, penggunaan kata “berderak” dan “memberontak” kurang signifikan dengan keperluan cerita dalam sajak.
Bahkan ungkapan “api menjilat buntut angkasa” walaupun agak unik, tetapi tidak memberi nafas pemaknaan yang puitis.
Rangkap kedua pula, penulis cuba membicarakan kemanusiaan dengan kemajuan seakan-akan perlu pengorbanan. Perkaitan antara isu agak menarik melalui penggunaan metafora “bersarang tekad” dan “menentang sempadan”.
Tetapi keterjalinannya dengan unsur isu tidak menepati arus cerita yang hendak dijejaki oleh penceritaan tentang hala tuju dan matlamat sajak.
Pada rangkap ketiga, penceritaan menemui garis kesedaran tentang proses apabila ungkapan “rahsia semesta ciptaan Ilahi” sebagai pemisah keinginan dan kehendak, namun kaedah naratif diceritakan tidak begitu meyakinkan tentang makna kesedaran yang paling wajar.
Personifikasi untuk Roket “bagaikan tombak dewa pulang ke kayangan” terlalu kabur dan tidak mampu memberi pentafsiran yang rasional tentang wibawa Roket.
Mungkin pada rangkap keempat, penulis menampakkan peranan watak dalam sajaknya apabila pemain naratif dalam cerita Roket, iaitu “saintis, pemimpi dan para pendosa” mampu menjentik makna sebenar usaha membina Roket yang hanya kerana memenuhi “ambisi” masing-masing, hingga situasi “dunia terus riuh dan kacau bilau” berlaku.
Penulis menyimpulkan ceritanya dalam sajak ini melalui rangkap terakhir dengan hujah yang sinis iaitu “manusia tetap hamba kepada fantasi sendiri” jelas merupakan ungkapan prosa yang langsung.
Walaupun ada pengayaan puitis melalui ungkapan “roket itu terus mendaki”, tetapi tidak menjadi dan tidak tepat kerana sifat roket tidak mendaki tetapi dilancarkan.
Sajak ini boleh menjadi sajak yang menarik sekiranya dijadikan sajak perlambangan dengan mengambil kira perlakuan “Roket” dengan situasi kemanusiaan yang sememangnya sentiasa ditakluki dan dipengaruhi oleh “fantasi diri”, kerana sifat itu berlaku dalam semua keadaan dalam persekitaran manusia.
Hanya, kaedah pemilihan kata dan cara pengungkapannya mampu menghasilkan cerita sajak yang puitis.
Sajak kedua berjudul “Lara Hati” lebih bersifat peribadi dan terluah sebagai emosi penulis terhadap situasi dan suasana. Penceritaannya berbaur dengan pengalaman, keinginan dan harapan.
Sekejap memberi pemaknaan tetapi pada waktu yang sama hilang dalam pencarian makna itu sendiri. Perhatikan keseluruhan sajak ini;
Jika diikut lara hati
ingin terasing
membawa diri
pergi jauh
menuju alam nian abadi.
Lara hati membawa lari,
secebis kuat
akhirnya pergi
kalau diikut hunggahan hati
pasti ada yang meratapi.
Jika diikut lara hati,
tidak mahu lagi ke mari
biar ada yang menangisi
atau mungkin tiada yang peduli.
Lara hati membawa kembali
rawan jiwa yang tiada henti
bagai lama sudah bernadi.
Jika diikut lara hati
apa erti hidup begini
hanya iman dalam diri
menjadi pedoman kemudian hari.
Lara hati memberi erti
kosong sukma tiada berhati
tinggal jasad kalbunya mati
kelongsong lompong tiada penghuni.
Sajak “Lara Hati” sememangnya jelas memanfaatkan ungkapan secara prosa. Walaupun ada usaha untuk membina ungkapan yang mempunyai bibit-bibit puitis tetapi tidak kesampaian.
Walaupun laras prosa, sajak ini masih mampu meletakkan dirinya sebagai sebuah cerita yang menimbulkan keraguan nyata dalam penceritaannya. Sebagai contoh, pada rangkap pertama, ungkapan “menuju alam nian abadi” seakan satu konsep yang tidak baik apabila dibaca pada baris pertama sehingga pada ungkapan tersebut.
Begitu juga halnya dalam rangkap kedua, penulis menjadikan “Lara Hati” sesuatu yang terlalu pedih dan sakit sehingga “pasti ada yang meratapi”.
Penggunaan istilah lain tentang istilah “hunggahan” tidak ditemui yang sepadan maksudnya dengan pengungkapannya. Kemungkinan salah eja atau salah penggunaan istilah.
Pada rangkap ketiga dan keempat, penulis masih mengulangi kesengsaraan tentang “Lara Hati” tanpa memberi pemaknaan untuk mendepani atau menyelesaikannya.
Pengungkapan secara prosa ini telah menjadikan sajaknya lebih berprinsip dialog yang diluahkan secara langsung tetapi dirangkapkan. Sesekali boleh menghidupkan cerita tetapi sesekali menimbulkan kecelaruan pada cerita.
Dalam rangkap kelima, penulis melakukan keterbalikan makna pada episod ceritanya. Ungkapan “jika diikut lara hati, apa erti hidup begini” ditembung nilai dengan ungkapan “hanya iman dalam diri, menjadi pedoman kemudian hari”.
Kaedah ini seperti pertanyaan yang sudah ada jawapannya. Sepatutnya penulis membina naratif dalam pertembungan nilai ini sebagai proses penceritaan sajaknya untuk memberi nilai baharu dalam sajaknya.
Pada rangkap terakhir sajak ini, penulis telah kehabisan tuju cerita sajaknya apabila menyimpulkan situasi atau isu “Lara Hati” dengan kelompangan makna yang hendak dihajati dalam penghasilan sajak ini.
Walaupun pengulangan ungkapan “Lara Hati” hampir dalam semua rangkap dengan elemen sebab dan akibat sebagai cetusan cerita, namun sajak ini tidak menemui ceritanya yang sebenar.
Sesebuah prosa pun, mesti ada kesudahan yang boleh dijadikan pengajaran, teladan atau ingatan. Namun, sajak “Lara Hati” hanya luahan yang tidak menemui jalan yang boleh menjadi ingatan.
Sajak ketiga untuk kita bincangkan dalam konsep prosa dan puitis dalam sajak ialah sajak berjudul “Feri Seribu Cerita”. Sajak ini bolehlah dikatakan sajak yang ditulis bersumberkan kisah sebenar tetapi cuba difiksyenkan dalam penghasilan sajak.
Cerita yang cukup mudah tetapi cuba dihidupkan dengan emosi kehilangan atas segala jasanya feri yang menjadi penyambung perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi. Perhatikan keseluruhan sajak ini;
Angin sungai diam
Feri Triso berundur perlahan
jambatan menyambung mimpi
Bertahun ia setia
membelah Batang Lupar
mengangkut harapan
dalam hujan dan pasang
Kini tugasnya tamat
namun deru enjinnya
tetap hidup
dalam ingatan pesisir.
Sajak ini baik kerana dalam laras bahasa yang bersifat prosa, ceritanya hidup. Walaupun sajak ini ringkas tetapi memenuhi nilai ceritanya.
Penggunaan personifikasi dan metafora dalam beberapa ungkapannya memberi sedikit nafas puitis dalam sajaknya. Ungkapan seperti “angin sungai”, “menyambung mimpi”, “mengangkut harapan” dan “ingatan pesisir” (antara ungkapan yang segar dan menarik) begitu jelas kewajaran dan kerasionalannya sebagai ungkapan cerita.
Tahniah kepada ketiga-tiga penulis yang telah menghasilkan sajak yang mempunyai nilai cerita yang baik.
Hanya untuk menjadi lebih peka dalam penulisan, wajarlah banyak membaca bukan sahaja sajak-sajak oleh penulis lain tetapi juga bahan bacaan dalam pelbagai ilmu untuk memberi perspektif yang lebih meluas dan seterusnya membantu gaya bahasa dalam laras puitis.
Oleh Ja’afar Haji Hamdan





