Antara Dua Diam

Facebook
WhatsApp

HARI pertama aku pegang dia. Kecil. Cerah kulitnya, ikut mak. Tangisannya kuat, seolah-olah dia belum bersedia menghadapi dunia.

“Abang nak namakan dia apa?” soal isteriku yang masih baring di atas katil.

Arya Adira. Aku namakan dia Arya Adira.

Puteriku, anak sulungku. Darahku, keturunanku. Jadilah anak yang solehah. Yang mendengar kata orang tuamu ini. Jagalah nasab keturunan kita. Kita ini, keturunan yang baik, puteriku.

Aku azankan perlahan di telinga kanannya. Bergetar sedikit suaraku. Maklumlah, pertama kali menyambut cahaya mata. Lafaz azanku mencetus rasa berat pada tanggungjawab yang bakal aku pikul. Aku tahu, membesar anak perempuan tak mudah. Cuma satu benda yang aku yakin, aku akan jaga dia. Aku mahu dia menjaga maruah keluargaku. Dia akan menjaga keturunanku.

***

Lucu dan comel. Di bangku sekolah, dia mengomel, mempersoalkan namanya yang terlalu panjang. Mengambil masa yang terlalu panjang untuk dia habis tulis. Aku kata, namanya itu penuh makna. Membawa maksud dan darahnya yang mulia.

“Arya tulis nama betul-betul. Jangan salah eja. Kita ini keturunan yang baik dan mulia.”

Arya angguk walaupun aku tahu dia tak faham sangat. Dia cuma nak tahu kenapa namanya terlalu panjang berbanding dengan kawan-kawannya yang lain.

Aku menoleh ke arah isteriku.

Kami berpandangan. Aku memberikan senyum padanya tapi dia membalas dengan senyuman kelat kemudian berpaling. Dia seperti mendapat tahu apa yang ada di dalam fikiranku. Masa itu, aku tak sedar, aku sedang melahirkan sesuatu dalam diri Arya. Juga dalam diriku.

***

“Abah, Arya dapat nombor dua!” Beg sekolah dilepaskan di ruang tamu. Wajahnya girang.

Aku sedang duduk minum kopi sambil membaca surat khabar.

“Kenapa bukan nombor satu?”

Dia diam.

Melalui pandangan anak mataku, aku dapat lihat senyumannya yang lebar tadi menghilang. Aku tahu dia sudah belajar dan mengulang kaji sampai tertidur di atas buku. Aku tahu kerana aku yang pindahkan dia dari ruang tamu ke dalam bilik.

Mendapat nombor dua di dalam kelas cukup-cukup saja tapi belum cukup memuaskan aku. Anak aku kena dapat nombor satu. Yang pertama.

Aku bangga, aku gembira tapi bagi aku ia belum cukup. Aku kena lebih tegas. Isteri aku kena lebih keras mengajar anak-anakku. Bagi aku, itu tandanya sayang. Aku tak mahu anakku menjadi orang yang sia-sia. Aku mahu dia jadi orang yang bijak, yang mendengar kata.

***

“Arya. Lepas tamat diploma, abah nak Arya sambung ijazah.”

“Tapi abah, kursus yang Arya perlu sambung belajar, tak ada dekat sini. Ada dekat luar negeri.”

“Jadi, apa masalahnya?”

“Masalahnya jauh, abah. Lagipun, Arya rasa kita tak mampu nak bayar segala yuran, makan minum, tempat tinggal dekat sana.”

“Apa kau ni banyak alasan sangat Arya? Abah ada. Abah boleh tanggung kau.”

“Tapi…”

“Tak ada tapi-tapi. Kau kena dengar cakap abah.”

Arya tak menjawab. Dia masuk ke dalam bilik.

Aku menoleh arah isteriku. Dia mendekatiku.

“Betul ke kita mampu bayar pembiayaan dia kat luar negeri?”

“InsyaAllah mampu…”

“Mana abang nak dapat duit?”

“Aku ada jalan. Ini demi masa depan anak.”

“Masa depan anak, atau masa depan abang?”

“Aku tahu apa aku buat. Satu hari nanti, dia akan berterima kasih dekat aku!”

Aku bangun meninggalkan isteri aku di ruang tamu. Aku lalu di depan bilik Arya. Terdengar suara tangisan kecilnya dari luar. Aku buat semua ini demi kebaikan dia. Dia akan berterima kasih padaku suatu hari nanti. Aku lebih tahu. Aku terlebih dahulu makan garam. Dia baru nak hidup. Dia perlukan aku untuk berjalan di bumi yang penuh simpang siur ini.

***

Arya sekali lagi mendapat selempang merah jambu di majlis graduasi. Umi dan adiknya sahaja yang datang. Aku tak hadir disebabkan kekangan kewangan. Lagipun, tak penting juga keberadaan aku ke sana. Arya mendapat keputusan baik pun sudah cukup.

                Tambahan, aku sudah ada perancangan buat Arya. Balik sahaja Arya ke sini, aku akan minta dia hantar profilnya ke perusahaan kenalan aku. Keluarganya ternama. Juga daripada keturunan yang baik. Kalau tidak silap, kenalan aku itu ada anak lelaki. Mungkin aku boleh satukan mereka.

***

“Dah berapa tahun Arya kerja sana?”

“Hampir 2 tahun, abah. Tapi Arya rasa nak berhentilah.”

“Dah kenapa nak berhenti?”

“Suasana kerja sana toksik, abah. Arya tak tahan.”

“Kau ni lemahlah Arya! Bertahanlah sikit. Minggu depan abah nak bawa kau jumpa bos kau!”

“Kenapa abah?”

“Adalah!”

***

Petang Jumaat, aku ajak Arya, adiknya dan umi keluar. Aku suruh Arya pakai cantik-cantik, solek sikit.

“Kita pergi makan di luar malam ini.”

Arya nampak pelik tapi dia ikut.

Setibanya di restoran, majikan Arya datang bersama anak lelakinya. Segak. Kemas. Paling penting, keturunan yang baik.

“Ini anak saya.”

“Apa khabar ami? Ibu…” anak lelakinya menyantuni kami.

Aku toleh arah Arya. Dia tunduk saja tanpa senyum dan melihat arah kami.

Sambil makan, kami berbual. Majikan Arya yang juga kenalanku bercakap tentang keluarganya, anak-anaknya, tentang masa depan. Aku kagum. Sesekali aku melihat arah anak lelakinya itu. Sedang bermain mata dengan Arya. Aku toleh ke arah Arya. Tunduk. Langsung tidak membalas jelingan mata lelaki itu.

Lepas makan, kenalanku itu tarik aku ke tepi.

“Kalau jadi, kita bincang seterusnya,” dia kata.

Aku angguk sambil ketawa gembira. Hati aku lega. Ini yang aku nak. Bermenantukan seorang yang mempunyai akhlak yang baik, mempunyai harta dan yang paling penting, keturunan yang baik. Sekurang-kurangnya salasilah keluargaku terjaga.

Di satu sudut yang lain, anak kami sedang berbual. Makin berbunga hatiku ini. Malam ini, aku sangat gembira.

***

Sepanjang perjalanan, diam sahaja. Tiada siapa pun bercakap. Tiba di rumah, aku pun memulai perbualan.

“Jadi macam mana Arya?”

“Macam mana apa, abah?”

“Budak laki tu. Kau rasa dia macam mana?”

“Maksud abah, apa?”

Aku tak pasti adakah Arya pura-pura tidak tahu atau memang betul-betul tidak tahu tujuan perjumpaan tadi.

“Abah nak kahwinkan kau dengan anak bos kau.”

“Apa yang abah merepek ni?!” Arya seperti terkejut. Mukanya pun terkedu dan nampak terkejut. “Abah tahu tak? Dia dah kahwin! Dia dah ada isteri, dah ada anak dah.”

Aku terdiam. Kenapa kenalan aku itu tidak jujur padaku? Dalam pada masa yang sama, Arya meninggalkan aku. Dia masuk ke dalam bilik. Merajuk barangkali.

Aku pandang arah isteri aku. Dia menolak pandangan aku itu. Dia turun masuk bilik, membawa anak bongsu kami.

***

“Tuan tak beritahu yang anak tuan dah kahwin…”

“Haha! Alah, isteri pertama faham. Isteri dia tu, orang biasa. Awak sendiri tahu, kalau isteri pertama orang biasa, wajib kita kahwini perempuan dari kalangan kita.”

Aku angguk. Ada betul katanya. Walaupun, dalam hati aku, seperti tak setuju dengan hal ini.

“Kalau awak tak setuju, saya tak rugi pun. Ini pun idea awak. Saya okey sebab anak saya okay. Anak awak pun kerja sini, jadi saya okey saja.”

***

“Kita akan teruskan!”

Dia pandang aku lama.

“Abah tahu dia dah kahwin?”

“Lelaki boleh kahwin lebih dari satu!” aku yakinkan dia… dan juga diri aku sendiri.

“Arya tak setuju!”

“Setuju atau tidak, kau kena kahwin dengan dia! Nanti kau akan berterima kasih dekat aku!”

“Terima kasih apanya abah! Abah nak Arya ni dilabel penyondol ke?”

“Kau akan hidup senang Arya! Dia dari keturunan yang baik! Ini untuk kebaikan kau!”

“Kebaikan Arya atau kebaikan Abah sebenarnya?” suaranya terketar. Matanya sudah bergelinang air mata.

Isteriku memeluknya. Membisikkan sesuatu untuk mereda kemarahannya.

“Dari kecil sampai besar, abah tak pernah tanya apa yang Arya mahu! Abah suruh Arya buat apa yang abah mahu!”

Aku tersentak. Arya masuk ke dalam bilik.

***

Sunyi. Isteriku di dapur. Anak bongsuku di dalam bilik. Aku bersendirian di ruang tamu. Selepas kejadian itu, Arya menerima tawaran kerja di luar negeri. Pekerjaan yang dia minati. Sudah lama Arya tidak balik ke rumah walaupun cuti panjang.

Suatu malam, telefon aku berdering. Nama Arya tertera di skrin. Aku diam sekejap sebelum angkat.

“Assalamualaikum, abah.”

Aku jawab perlahan, “Waalaikumussalam.”

Sunyi sekejap. Janggal.

“Abah sihat?”

“Abah sihat. Arya macam mana?”

“Arya pun sihat.”

Aku perasan sesuatu. Kalau dulu, aku yang banyak bercakap, tapi kali ini aku tak tahu nak cakap apa.

“Abah…”

“Ya… anak abah.”

“Arya minta maaf…”

Aku tersentak. Dia yang minta maaf, padahal…

“Arya minta maaf sebab Arya tak dapat turuti permintaan abah. Arya lari dari abah. Arya tak balik rumah.”

“Abah pun nak minta maaf…” Aku sedar, aku tak pernah minta maaf dengan sesiapa. Apalagi dengan anak. Perkataan itu, terlalu berat untuk keluar. “Abah ingat, abah buat semua tu untuk jaga nama kita.” Tanpa aku sedar, air mataku jatuh ke pipi. “Abah yang salah. Abah minta maaf.”

Antara dua diam, ada suara tangisan yang aku dengar. Aku juga kian teresak-esak.

Tanpa disedari, isteriku merangkul bahuku dari belakang, turut menangis.

Selepas tamat panggilan, aku duduk. Aku pandang tangan aku. Tangan inilah yang pegang dia waktu kecil. Tangan ini yang patut melindunginya, bukan memaksanya. Aku terlalu sibuk dengan nama, dengan keturunan tanpa menjaga perasaan. Kini aku sedar, bukanlah nama yang patut dijaga tetapi hubungan dengan anak yang lebih penting.

Oleh Mohd Hapizan