
JAKARTA: Indonesia sedang menyiapkan bidaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Futsal FIFA 2028 susulan kejayaan negara itu menganjurkan Piala Asia Futsal AFC 2026 awal tahun ini.
Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Erick Thohir berkata, perbincangan mengenai rancangan tersebut dikemukakan kepada FIFA semasa Kongres ke-76 organisasi itu di Vancouver, Kanada, pada 30 April lalu.
“Ya, ia disampaikan semalam. Selepas ini, sudah tentu FIFA yang akan membuat keputusan,” katanya kepada pemberita di Kongres Biasa Persekutuan Futsal Indonesia (FFI) 2026, di sini, pada Selasa menurut Agensi Berita Antara.
Sementara itu, Pengerusi FFI Michael Sianipar menyifatkan penganjuran Piala Dunia Futsal FIFA sebagai “impian bersama”, sambil menyatakan yang impian itu semakin memuncak selepas kejayaan Indonesia mengendalikan Piala Asia Futsal AFC 2026. – Bernama