
SELANGAU: Lima lelaki tempatan ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam serbuan di kawasan Bukit Kerangan Sungai Kua di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Muhamad Rizal Alias berkata, kesemua suspek berumur antara 32 hingga 46 tahun itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil maklumat dan risikan.
Menurutnya, semasa serbuan dijalankan, semua suspek berada di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diparkir di tepi jalan kawasan berkenaan.
“Apabila menyedari kehadiran polis, salah seorang suspek telah mencampakkan sesuatu yang mencurigakan ke dalam semak berhampiran.
“Hasil pemeriksaan di kawasan semak itu menemukan dua keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disimpan di dalam sebuah kotak rokok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah 0.86 gram dan semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
Katanya lagi, hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
“Siasatan awal mendapati suspek mengaku dadah yang ditemukan adalah milik mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, kesemua suspek yang bekerja sebagai buruh ladang sawit direman selama empat hari sehingga 16 Mei ini bagi membantu siasatan.
Muhamad Rizal turut menegaskan bahawa IPD Mukah komited dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkannya melalui talian hotline 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Tarani Lanting