

KUCHING: Polis mengesahkan video tular di Facebook yang memaparkan seorang lelaki ditahan polis adalah berkaitan operasi pencegahan jenayah di Jalan Hui Sing, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching, Alexson Naga Chabu, berkata video berdurasi 46 saat itu dikesan dimuat naik di media sosial semalam kira-kira 10.00 pagi.
Menurut beliau, kejadian berlaku pada 8 Mei sekitar 5.30 petang ketika sepasukan polis menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Jalan Hui Sing sebelum cuba menahan sebuah kenderaan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Bagaimanapun, pemandu kenderaan tersebut enggan memberi kerjasama dan bertindak melarikan diri sehingga berlaku kejadian pihak polis mengejar suspek.
“Polis berjaya menahan kenderaan terbabit, namun dua lelaki iaitu pemandu dan penumpang hadapan berjaya melarikan diri dengan meninggalkan seorang lelaki di bahagian penumpang belakang yang kemudiannya berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan tidak menemui sebarang barang menyalahi undang-undang.
Katanya, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai rekod lampau. Hasil saringan ujian air kencing juga didapati negatif.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di talian 082-244444.
Oleh Connie Chieng