Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • China bina pangkalan ujian ais, salji terbesar dunia bagi kenderaan pintar
  • GLOBAL

China bina pangkalan ujian ais, salji terbesar dunia bagi kenderaan pintar

Utusan Sarawak 5 hours ago
GAMBAR hiasan.

BEIJING: China Automotive Technology and Research Centre Co, Ltd. (CATARC) memulakan pembinaan pangkalan ujian ais dan salji bagi kenderaan tenaga baharu pintar (ICNEV) yang terbesar seumpamanya di dunia, di Wilayah Autonomi Mongolia Dalam, utara China.

Kemudahan itu, yang dijadual mula beroperasi pada 2028, juga akan menjadi pangkalan pertama di dunia yang mampu menghasilkan salji dalaman untuk ujian dalam keadaan simulasi salji turun, menurut laporan Science and Technology Daily, semalam.

ICNEV ialah kenderaan yang menggabungkan teknologi tenaga baharu dengan sistem sambungan pintar, pemanduan autonomi dan sistem pintar canggih, sekali gus mengubah kereta tradisional menjadi terminal pintar bergerak.

Pangkalan ujian baharu itu menandakan lonjakan dalam keupayaan China menguji kenderaan tenaga baharu (NEV) dalam cuaca sejuk melampau.

Meliputi kawasan kira-kira 1,000 mu (kira-kira 67 hektar), pusat ujian itu akan mempunyai zon fungsi teras melibatkan penentukuran tiga sistem elektrik NEV iaitu bateri, motor dan kawalan elektronik, sistem casis, ujian simulasi salji untuk kenderaan pintar bersambung serta penilaian kereta terbang.

“Projek ini secara langsung menangani kekangan utama industri dalam pengesahan prestasi di cuaca sejuk melampau,” kata Naib Presiden CATARC Li Wei.

“Apabila siap kelak, ia akan mengatasi kekangan kitaran ujian, meningkatkan standard industri, memajukan teknologi teras suhu rendah dan mewujudkan platform pengesahan bertaraf dunia. Ini akan memperkukuh kekuatan menyeluruh serta pengaruh antarabangsa China dalam ujian automotif persekitaran ekstrem.”

Naib Datuk Bandar Hulunbuir Wen Jinlei, berkata pusat ujian itu akan menggalakkan integrasi mendalam antara ekonomi ais dan salji serantau dengan inovasi teknologi automotif, sekali gus mempercepat penerokaan model “ais dan salji + teknologi”.

Pembinaan itu dilakukan ketika industri NEV China terus berkembang pesat. Menurut data rasmi terkini daripada Persatuan Pengeluar Automobil China, pengeluaran dan jualan NEV negara itu masing-masing mencapai 16.626 juta dan 16.49 juta unit pada 2025, meningkat 29 peratus dan 28.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Namun, prestasi dalam cuaca sejuk masih menjadi cabaran utama bagi NEV. Pangkalan ujian baharu itu akan membolehkan kawalan tepat terhadap jumlah salji, pekali geseran ais dan faktor persekitaran lain, sekali gus mengatasi kekangan semasa akibat keadaan dunia sebenar yang sukar dikawal serta menyediakan standard dan sistem data pengesahan kenderaan yang saintifik dan stabil.

-Bernama

Tags: Global

Continue Reading

Previous: 344 kanak-kanak maut akibat campak di Bangladesh
Next: Mogok industri penerbangan Itali jejas perkhidmatan seluruh negara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.