
KATHMANDU, Nepal: Sebuah pesawat Turkish Airlines yang membawa 277 penumpang bersama 11 anak kapal terbakar ketika mendarat di Lapangan Terbang Kathmandu pada Isnin, namun tiada mangsa cedera dalam insiden tersebut.
Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, Gyanendra Bhul, berkata pesawat yang berlepas dari Istanbul itu terbakar selepas berlaku percikan api pada gear pendaratan sebelah kanan.
“Semua penumpang dan anak kapal selamat.
Operasi menyelamat telah selesai. Kini kami sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan,” katanya kepada AFP.
Menurut Bhul, insiden itu menyebabkan satu-satunya landasan di lapangan terbang berkenaan ditutup selama hampir dua jam pada sebelah pagi, namun kini telah dibuka semula.
Negara Himalaya itu mempunyai beberapa landasan paling terpencil dan mencabar di dunia, dikelilingi puncak gunung bersalji serta bentuk muka bumi yang menuntut kemahiran tinggi daripada juruterbang berpengalaman.
Beberapa siri nahas udara serta keputusan Kesatuan Eropah menyenaraihitamkan semua syarikat penerbangan Nepal mendorong pihak berkuasa negara itu pada tahun lalu mengumumkan rancangan untuk memasang sistem radar baharu dan pemantauan cuaca.
Pada 2015, sebuah pesawat Turkish Airlines yang membawa 224 penumpang terbabas dari landasan di Kathmandu.
Tiada penumpang cedera, namun kejadian itu menyebabkan landasan ditutup selama empat hari dan puluhan penerbangan antarabangsa terpaksa dibatalkan. – AFP