
LONG BEDIAN: Seramai 30 peserta daripada etnik Penan dan Kayan menyertai Program Kampung Siaga: Komuniti Berdaya Tahan Bencana Daerah Kecil Long Bedian 2026 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Daerah Kecil Long Bedian pada Sabtu.
Berucap pada majlis tersebut, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Long Bedian, Nancy Abau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Menurut beliau, program seumpama itu amat penting khususnya bagi kawasan pedalaman seperti Long Bedian yang berdepan cabaran dari segi akses, komuniti serta jarak dari pusat bantuan kecemasan.
“Oleh sebab itu, masyarakat perlu mempunyai pengetahuan asas dan persediaan awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

“Kita sedia maklum bahawa antara risiko bencana yang boleh berlaku di kawasan ini termasuklah banjir, tanah runtuh, kebakaran rumah panjang, pokok tumbang serta kemalangan jalan raya dan sungai,” katanya.
Nancy berkata, dalam situasi kecemasan, tindakan awal daripada komuniti sendiri amat penting sementara menunggu bantuan tiba.
Justeru, katanya, latihan seperti pertolongan cemas, bantuan pernafasan kecemasan (CPR), asas menyelamat kecemasan serta simulasi bencana yang dijalankan mampu memberi ilmu dan keyakinan kepada masyarakat untuk bertindak dengan lebih cepat dan teratur ketika berlaku kecemasan.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan kewujudan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di kawasan Long Bedian.
Menurutnya, kehadiran APM bukan sahaja membantu dari segi operasi menyelamat, malah mampu menjadi pusat latihan, penyelarasan bantuan dan kesiapsiagaan komuniti secara berterusan.
“Adalah diharapkan pada masa akan datang dapat dipertimbangkan penubuhan pejabat atau pos operasi APM di Long Bedian berserta kemudahan asas seperti peralatan menyelamat, komunikasi dan latihan sukarelawan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan masyarakat setempat dalam menghadapi bencana.
Nancy turut berharap program itu dapat memberi manfaat kepada seluruh komuniti dan menjadi langkah awal ke arah membentuk masyarakat yang lebih berdaya tahan, bersatu serta sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran.
Turut hadir pada program tersebut, pegawai dan wakil agensi berkaitan.
Oleh Jiku Juguong