
SAO PAULO: Mahkamah Agung Persekutuan Brazil menggantung buat sementara waktu undang-undang yang boleh memendekkan tempoh hukuman penjara bagi individu yang disabitkan kesalahan atas serangan ke atas bangunan kerajaan pada 8 Januari 2023, termasuk bekas Presiden Jair Bolsonaro, pada Sabtu lapor Xinhua.
Keputusan itu dikeluarkan oleh Hakim Alexandre de Moraes, yang ditugaskan untuk menyemak semula perlembagaan undang-undang berkenaan.
Dalam penghakimannya, Moraes berkata penggantungan itu perlu bagi menentukan kepastian undang-undang, sementara mahkamah menentukan sama ada undang-undang berkenaan selaras dengan perlembagaan Brazil.
Kesemua hakim mahkamah dijangka menyemak cabaran undang-undang terhadap perundangan itu, yang diisytiharkan pada Jumaat oleh Presiden Kongres, Davi Alcolumbre, selepas penggubal undang-undang membatalkan veto yang dikemukakan oleh Presiden Luiz Inacio Lula da Silva.
Bolsonaro telah dijatuhi hukuman penjara 27 tahun tiga bulan oleh Mahkamah Agung Persekutuan pada September tahun lepas kerana mengetuai cubaan rampasan kuasa. – Bernama