
LIMBANG: Pelajar Tahun 5 Sekolah Kebangsaan (SK) St Edmund Limbang, Abner Dominggo Collin, mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih pingat emas berganda dalam Pertandingan TeenEagle di peringkat Kelayakan Kebangsaan yang berlangsung pada 3 hingga 5 April lalu.
Kecemerlangan Abner terus menyerlah di peringkat Pusingan Serantauapabila sekali lagi meraih Anugerah Pingat Emas di Sekolah Antarabangsa British Kuala Lumpur bagi kategori pelajar sekolah rendah (TE 1) pada 2 hingga 3 Mei lalu.
Seramai 420 pelajar dari seluruh Malaysia menyertai pertandingan berkenaan.
Kejayaan tersebut melayakkan Abner ke peringkat Final Globaldi Universiti Brunel, London yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 9 September tahun ini.
SK St Edmund yang sememangnya dikenali sebagai antara sekolah yang melahirkan pelajar cemerlang kini bakal menyaksikan wakilnya mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa di United Kingdom (UK).
Bapanya, Sarjan Mejar (SM) Collin Maxwell berkata kejayaan Abner didorong oleh semangat cekal, kesungguhan mengulang kaji pelajaran serta minat mendalam dalam penerokaan ilmu baharu.
Menurutnya, Abner kini giat melakukan persiapan rapi secara konsisten dengan mengulang kaji, menjalani latihan serta mencari bahan bacaan bagi menghadapi pertandingan peringkat seterusnya.

“Abner kini sedang melakukan persiapan rapi secara konsisten tanpa mengira masa dan tempat untuk mengulang kaji, membuat latihan serta mencari bahan bacaan bagi mempersiapkan diri di peringkat seterusnya,” katanya kepada media baru-baru ini.
Beliau berkata Abner optimis untuk mengulangi kejayaan dan menyasarkan pingat emas ketiga sekali gus mengharumkan nama institusi pendidikan di Sarawak dan Malaysia di persada dunia.
TeenEagle merupakan pertandingan bahasa Inggeris antarabangsa dari UK yang diiktiraf oleh NOCN (Ofqual, UK) dan disertai oleh lebih 60 negara seluruh dunia. Pertandingan ini bukan sekadar ujian tatabahasa, malah turut merangkumi sastera, media dan pemikiran kritis melalui penggunaan bahan seperti buku dan filem popular.
Oleh Adeng Edrus