
SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di Sarawak disaran merujuk saluran rasmi kerajaan bagi mendapatkan maklumat tepat sekali gus mengelakkan penyebaran berita tidak sahih di media sosial.
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, langkah itu penting terutama apabila melibatkan isu sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
“Sebelum kita ketik telefon untuk memberi komen atau berkongsi sesuatu maklumat, kita perlu selidik dahulu sama ada fakta itu sahih atau tidak.
“Kalau belum pasti, jangan dikongsi,” katanya ketika merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan anjuran UKAS, Jabatan Premier Sarawak di Dewan LAKIS, di sini hari ini.

Menurut beliau, terdapat kes sebelum ini melibatkan KMKK yang berdepan masalah susulan perkongsian komen tidak tepat di media sosial.
Katanya, sebagai sebahagian daripada jentera kerajaan, KMKK perlu lebih berhati-hati kerana aktiviti media sosial mereka turut diperhatikan.
Dalam pada itu, Putrayusrie turut menggalakkan masyarakat menggunakan aplikasi Talikhidmat sebagai platform rasmi untuk menyalurkan aduan, cadangan pembangunan dan penghargaan kepada agensi kerajaan.
Beliau berkata, setiap aduan atau pertanyaan yang diterima menerusi sistem itu perlu diuruskan dalam tempoh 14 hari bagi memastikan penyampaian perkhidmatan lebih cekap dan sistematik.
Beliau turut menggesa masyarakat di Sibu agar bersiap sedia menjelang Program Sarawakku Sayang pada 26 Jun depan dan sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai yang akan diadakan di bandar itu.
Hadir sama wakil Pejabat Daerah Sibu Elizabeth Pius Kuha; Penolong Pengarah (Pengurus Bahagian) Service Sarawak Sibu Juliana Apa, Ketua Penolong Pengarah UKAS Joachim Paggang Jabong dan Temenggong Stanley Geramong Bandar.
Oleh Tarani Lanting