
KYIV, Ukraine: Kebakaran hutan seluas 1,100 hektar tercetus di zon larangan sekitar loji tenaga nuklear Chernobyl, menurut Perkhidmatan Kecemasan Negara hari ini, lapor Xinhua.
Kebakaran itu merebak dengan cepat akibat angin kencang, cuaca kering serta kehadiran periuk api darat yang menjejaskan usaha pemadaman, menurut agensi itu dalam satu kenyataan.
Unit perkhidmatan kecemasan negara bersama anggota daripada agensi lain telah dikerahkan bagi mengawal kebakaran.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, setakat 11.00 pagi waktu tempatan (0800 GMT), keadaan radiasi di Ukraine kekal stabil dengan paras radiasi gamma berada dalam julat normal.
Operasi pemadaman kebakaran masih diteruskan.
Loji tenaga nuklear Chernobyl, yang terletak kira-kira 110 kilometer di utara Kyiv, merupakan lokasi antara bencana nuklear terburuk dalam sejarah pada 26 April 1986.
Kawasan sejauh 30 kilometer di sekeliling loji itu kemudiannya diisytiharkan sebagai zon larangan.
-Bernama