


JAKARTA: Tiga pendaki, termasuk dua warga asing maut manakala 10 lagi dilaporkan hilang selepas Gunung Dukono di Pulau Halmahera, timur Indonesia, meletus pada Jumaat dengan memuntahkan awan abu setinggi kira-kira 10 kilometer ke udara, kata pihak berkuasa tempatan.
“Tiga maut, dua warga asing dan seorang penduduk dari Pulau Ternate,” kata Ketua Polis Daerah Halmahera Utara, Erlichson Pasaribu, kepada Kompas TV.
Menurut beliau, tujuh individu berjaya turun dengan selamat, namun 10 lagi masih hilang di kawasan yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan kepada pengunjung sejak bulan lalu selepas saintis mengesan peningkatan aktiviti gunung berapi.
Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) memaklumkan lima pendaki turut cedera dalam letusan berkenaan.
“Pasukan bersama daripada Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) terus menjalankan operasi pencarian serta pemindahan pendaki di kawasan gunung susulan peningkatan aktiviti gunung berapi,” kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.
Erlichson berkata, operasi menyelamat dijalankan di kawasan berbukit dan sukar dilalui, dengan kenderaan hanya boleh digunakan di sebahagian laluan.
“Selebihnya, mangsa perlu dibawa menggunakan pengusung. Selain itu, gegaran akibat letusan masih berlaku dan keadaan itu memperlahankan operasi pemindahan,” katanya.
Ketua Agensi Geologi Indonesia, Lana Saria, berkata letusan pada awal pagi itu turut disertai bunyi dentuman kuat dan kepulan asap tebal yang menjulang kira-kira 10 kilometer dari puncak Gunung Dukono.
“Arah sebaran abu cenderung ke utara, justeru kawasan penempatan penduduk dan bandar Tobelo perlu berwaspada terhadap hujan abu gunung berapi,” katanya.
Beliau menambah, kepulan asap itu boleh menjejaskan kesihatan awam selain berisiko mengganggu perkhidmatan pengangkutan.
Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas, sering mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi kerana terletak di Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon pertembungan plat tektonik.
Negara Asia Tenggara itu mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif.
Gunung Dukono kini berada pada tahap dua daripada sistem amaran empat peringkat Indonesia.
Sejak Disember lalu, Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) telah menasihatkan pelancong serta pendaki supaya tidak menghampiri kawasan dalam lingkungan empat kilometer dari Kawah Malupang Warirang.
Erlichson berkata, kumpulan pendaki terbabit dipercayai mengabaikan amaran yang disiarkan menerusi media sosial serta papan tanda yang dipasang di pintu masuk laluan pendakian.
“Penduduk tempatan memahami risiko itu dan tidak mahu mendaki. Ramai pendaki merupakan pelancong asing yang mahu menghasilkan kandungan media sosial,” katanya. – AFP