
KUCHING: Seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang tidak sedarkan diri ketika menjalani aktiviti mendaki di Bukit Selabat di sini berjaya diselamatkan pasukan bomba, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar 6.10 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan BBP Petra Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar seorang mangsa perempuan dewasa tidak sedarkan diri semasa menjalani aktiviti mendaki bersama tujuh lagi rakan wanita,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan bomba kemudian bertindak membawa turun mangsa menggunakan teknik ‘Piggy Back Carry’ berikutan laluan turun yang sangat curam dan sukar dilalui.
“Sebaik tiba di kaki bukit, mangsa dipindahkan ke pengusung sebelum dibawa ke kawasan tapak pendaftaran untuk diserahkan kepada unit Perkhidmatan Perubatan Penyelamat Kecemasan (EMRS) bagi tindakan lanjut,” katanya.
Operasi tamat sepenuhnya sekitar 9.20 pagi.
Oleh Shahrul Qaizat