Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Rawatan biologik beri sinar baharu buat pesakit asma kronik
  • KESIHATAN

Rawatan biologik beri sinar baharu buat pesakit asma kronik

Utusan Sarawak 8 hours ago
PETUGAS kesihatan membantu salah seorang pengunjung ketika menjalankan pemeriksaan awal bagi mengenal pasti simptom asma sempena Program Kesedaran Hari Asma Sedunia 2026 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), baru-baru ini. Pemeriksaan saringan tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengesanan awal dan rawatan yang tepat, termasuk penggunaan inhaler secara betul serta pendedahan kepada terapi biologik seperti Tezepelumab bagi membantu pesakit asma kronik mengawal penyakit dengan lebih berkesan. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pernah aktif mendaki gunung, menyelam, meneroka gua, berlari maraton dan berbasikal jarak jauh, Kerol Noraashikin Shafiee tidak pernah menyangka rutin harian ringkas seperti menaiki lif atau berjalan ke bilik air akan menjadi cabaran fizikal terbesar buat dirinya.

Berusia 45 tahun, ibu kepada lima cahaya mata ini berkongsi realiti hidup sebagai penghidap asma kronik tahap lima, keadaan yang memaksanya meninggalkan gaya hidup lasak demi kelangsungan hidup.

“Dahulu berbasikal sejauh 40 kilometer itu biasa bagi saya. Namun selepas didiagnosis asma teruk, segalanya berubah sehingga saya terpaksa menjual semua peralatan sukan.

“Kini, kejayaan paling besar bagi saya adalah apabila dapat kembali bekerja dan menyara keluarga walaupun dalam keadaan kesihatan yang terhad,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Program Kesedaran Hari Asma Sedunia 2026 Peringkat Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini baru-baru ini.

PESAKIT asma kronik tahap lima, Kerol Noraashikin Shafiee, berkongsi pengalaman hidup berdepan cabaran kesihatan serius sehingga menjejaskan rutin harian dan gaya hidup aktifnya, ketika ditemui pada Program Kesedaran Hari Asma Sedunia 2026 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), baru-baru ini. Beliau kini menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani rawatan biologik Tezepelumab sejak 2024 yang membantu menstabilkan tahap kesihatannya. Foto BERNAMA

Menceritakan detik awal penderitaannya, Kerol Noraashikin berkata episod hitam itu bermula ketika dia mengandungkan anak kedua pada usia 31 tahun apabila mula mengalami sesak nafas dan batuk yang kerap.

“Ketika itu, saya hanya membeli sendiri ‘inhaler’ asma berwarna biru di farmasi selepas bertanya kepada rakan-rakan tanpa mendapatkan rujukan doktor. Biarpun memberi kelegaan segera, masalah sebenar tidak dirawat,” katanya.

Keadaan kesihatan anak kedua daripada enam beradik ini kemudian merosot secara berperingkat setiap kali hamil  dan menjadi sangat kritikal ketika hamil anak kelima pada 2021 dan keenam (2023).

“Pada kehamilan keenam, saya bukan sahaja bergelut dengan serangan asma yang kerap sehingga terpaksa tidur dalam keadaan duduk tegak, malah menghadapi pelbagai komplikasi penyakit dan didiagnosis menghidap Sistemik Lupus Eritematosus (SLE).

“Detik paling memilukan adalah apabila saya kehilangan bayi dalam kandungan pada usia 26 minggu, ketika saya sedang bertarung dengan serangan asma teruk dan masalah darah beku pada paru-paru,” katanya, menambah kesemua anaknya juga penghidap asma.

Kerol Noraashikin yang juga penjawat awam berkata keadaan itu turut menjejaskan rutin harian apabila pelbagai faktor persekitaran seperti ruang sempit, bau minyak wangi, asap rokok dan perubahan cuaca boleh mencetuskan serangan secara tiba-tiba.

“Bayangkan, saya terpaksa menahan nafas setiap kali berada di dalam lif kerana tidak boleh menghidu minyak wangi yang menjadi pencetus utama serangan asma saya,” katanya, menambah keadaan itu membuatkan dia lebih rela menggunakan tangga ke pejabatnya di tingkat dua.

ORANG ramai mengunjungi dan mendapatkan penerangan mengenai pelbagai jenis ‘inhaler’ sempena Program Kesedaran Hari Asma Sedunia 2026 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), baru-baru ini. Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran tentang pengurusan asma termasuk penggunaan inhaler yang betul serta memperkenalkan rawatan baharu seperti terapi biologik Tezepelumab bagi membantu pesakit asma kronik tahap lima mengawal penyakit mereka dengan lebih berkesan. Foto BERNAMA

Kerol Noraashikin berkata selepas menjalani rawatan berterusan bagi menangani pelbagai komplikasi penyakit termasuk masalah cakera teranjak, sinusitis kronik serta penggunaan beberapa jenis alat sedut dan  terapi menerusi rawatan biologik “tezepelumab”  sejak 2024, tahap kesihatannya kini semakin stabil.

Pada masa sama, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata pengalaman tersebut mengubah sepenuhnya cara dia melihat kehidupan dengan menyeimbangkan antara kerjaya, kesihatan dan keluarga.

“Dulu saya terlalu fokus pada kerja sampai abaikan diri dan keluarga. Sekarang saya belajar untuk menjaga kesihatan dan menghargai masa dengan keluarga,” katanya yang bersyukur keluarga sentiasa menjadi penyokong utamanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Perkhidmatan Endoskopi HCTM Prof Dr Mohamed Faisal Abd Hamid berkata HCTM ialah hospital pertama di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang menggunakan rawatan biologik “tezepelumab” dengan Kerol Noraashikin sebagai pesakit pertama yang menerima rawatan itu.

Beliau berkata rawatan berkenaan merupakan terapi tambahan bagi pesakit asma tahap lima seperti Kerol Noraashikin yang tidak lagi dapat dikawal dengan penggunaan alat sedut secara maksimum.

PETUGAS kesihatan membantu salah seorang pengunjung ketika menjalankan pemeriksaan awal bagi mengenal pasti simptom asma sempena Program Kesedaran Hari Asma Sedunia 2026 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), baru-baru ini. Pemeriksaan saringan tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengesanan awal dan rawatan yang tepat, termasuk penggunaan inhaler secara betul serta pendedahan kepada terapi biologik seperti Tezepelumab bagi membantu pesakit asma kronik mengawal penyakit dengan lebih berkesan. Foto BERNAMA

“Rawatan biologik ini bertindak mengawal sistem imun daripada mencetuskan keradangan saluran pernafasan kronik. Sebagai pesakit pertama yang menerima rawatan ini di HCTM, beliau menunjukkan perkembangan positif,” katanya dan menjelaskan rawatan itu diberikan secara suntikan di bawah kulit, lazimnya sebulan sekali.

Dr Mohamed Faisal yang juga Pakar Perunding Kanan Pulmonari dan Perubatan Dalaman HCTM berkata rawatan itu perlu dijalankan secara konsisten dan tidak boleh dihentikan secara tiba-tiba tanpa pemantauan doktor.

Bagaimanapun, katanya, rawatan asma tidak bergantung pada ubat semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan pendekatan menyeluruh termasuk mengenal pasti pencetus serangan, mengawal berat badan serta menjaga pemakanan dan persekitaran.- Bernama

Continue Reading

Previous: Kehamilan sihat permulaan terbaik buat si manja 
Next: KKM akan keluar pekeliling baharu berkaitan garis panduan waktu bekerja PPS – Dzulkefly

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.