
KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tekad untuk menampilkan aksi terbaik di kejohanan Masters Malaysia selepas tidak bergandingan pada edisi sebelum ini.
Tang Jie berkata beliau dan Ee Wei akan memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di laman sendiri dan berharap mampu memberikan persembahan cemerlang kepada penyokong tempatan yang hadir memberi sokongan.
“Bermain di tempat sendiri memang satu kelebihan buat kami. Kami sentiasa rasa dihargai dan bersyukur dengan sokongan yang diberikan.
“Jadi kami harap dapat tampil lebih baik setiap kali beraksi di laman sendiri,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Masters Malaysia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.
Sementara itu Ee Wei berkata, beliau gembira kerana diberi peluang sekali lagi dapat beraksi di kejohanan Masters Malaysia dan berharap dapat memberikan aksi terbaik bagi menggembirakan penyokong yang hadir.
“Kami sangat teruja beraksi di tempat sendiri dan akan memberikan yang terbaik dalam Masters Malaysia ini.
“Biarpun kami turun dengan status juara dunia, tekanan itu tetap ada, namun ia sebahagian daripada perjalanan kami,” katanya. – Bernama