
SIMANGGANG: Kontinjen bola keranjang Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Sri Aman menerima suntikan semangat menjelang Kejohanan Bola Keranjang MSS Negeri Sarawak 2026 menerusi Majlis Penyerahan Bendera yang berlangsung di perkarangan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Simanggang, semalam.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis yang juga Presiden Kelab Bola Keranjang Simanggang.
Dalam ucapannya, Harden berkata penyertaan dalam kejohanan berkenaan bukan sahaja medan persaingan sihat, malah platform penting untuk melahirkan atlet muda berdisiplin serta berdaya saing.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat kesukanan dan kerjasama berpasukan perlu diterapkan dalam kalangan pemain bagi memastikan kontinjen Bahagian Sri Aman mampu memberi saingan terbaik di peringkat negeri.
Pada majlis itu, Harden menyerahkan bendera MSS Bahagian Sri Aman kepada wakil kontinjen bola keranjang 12 tahun kebawah (TKB) dan 18TKB lelaki serta perempuan sebagai simbol amanah dan semangat juang yang digalas oleh para atlet muda.
Dalam acara sama, beliau turut menyaksikan penyerahan sumbangan dana oleh Pengerusi Kelab Bola Keranjang Bandar Simanggang, Tan Ting Lung melibatkan RM2,000 kepada kontinjen sekolah rendah dan RM4,000 kepada kontinjen sekolah menengah.
Menurut Harden, sumbangan tersebut membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam menyokong pembangunan sukan di peringkat akar umbi khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan satu set jersi tajaan daripada Sri Global Construction Sdn Bhd yang disampaikan oleh wakil syarikat kepada kontinjen sebagai tanda sokongan sektor swasta terhadap pembangunan sukan.
Selain itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman bersama pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut memainkan peranan penting dengan menyediakan bantuan elaun makan murid serta pengangkutan bagi meringankan beban peserta.
Kejohanan Bola Keranjang MSS Negeri Sarawak 2026 dijadual berlangsung dari 4 hingga 7 Mei di Bahagian Sibu dengan Bahagian Sri Aman menghantar penyertaan penuh dalam semua kategori.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berharap kontinjen tersebut mampu mencipta kejayaan serta mengharumkan nama Bahagian Sri Aman di pentas negeri.
Oleh Adi Safarman