Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Orang ramai disaran manfaatkan saringan kesihatan percuma, langkah awal cegah NCD
  • KESIHATAN

Orang ramai disaran manfaatkan saringan kesihatan percuma, langkah awal cegah NCD

Utusan Sarawak 6 hours ago
MANFAAT saringan kesihatan percuma, kesan awal NCD sebelum jadi serius. Foto hiasan

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia disaran memanfaatkan saringan kesihatan percuma sebagai langkah awal mengesan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang disifatkan sebagai “kad laporan” status kesihatan individu sebelum komplikasi serius berlaku.

Ketua Sektor Pencegahan dan Kawalan Kardiorenal Metabolik Kementerian Kesihatan, Dr R. Sivarajan berkata di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) orang ramai boleh menjalankan ujian secara percuma bagi mengenal pasti indikator kesihatan termasuk paras gula dalam darah, tekanan darah, indeks jisim badan (BMI), kolesterol serta status kesihatan mental.

Beliau berkata pengesanan awal melalui saringan tersebut mampu mengelakkan komplikasi serius seperti penyakit buah pinggang dan jantung.

“Jika dikesan tidak normal, individu akan dirujuk untuk ujian pengesahan dan rawatan susulan di klinik kesihatan.

“Pengesanan awal bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, tetapi juga mengurangkan kos rawatan jangka panjang serta meningkatkan produktiviti dengan mengurangkan ketidakhadiran kerja dan kematian pramatang,” katanya kepada pemberita selepas program ujian saringan kesihatan bersama ahli Kelab Media Putrajaya (KMP) di sini hari ini. 

NHSI adalah satu daripada inisiatif di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan memperkasakan kawalan kesihatan kendiri dalam memastikan individu, keluarga dan komuniti mempunyai keupayaan, kemampuan serta kemahiran dalam menangani ancaman NCD.

Program saringan itu ditawarkan secara percuma di semua klinik kesihatan kerajaan serta klinik pengamal am (GP) di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Dr Sivarajan turut menggesa rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk menjalani saringan kesihatan secara berkala, sambil menegaskan bahawa pencegahan juga melibatkan amalan gaya hidup sihat termasuk pemakanan seimbang, aktiviti fizikal dan tidur mencukupi.

“Dari segi pemakanan, aktiviti fizikal, tidur… ini semua bersangkut-paut dengan status kesihatan kita, terutamanya untuk penyakit NCD seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 20 ahli KMP hadir menjalani ujian saringan kesihatan yang dianjurkan kerjasama Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Antara saringan yang dijalankan ialah tekanan darah tinggi, hepatitis B & C, kiraan darah penuh (FBC), glukosa, fungsi hati, prostat, pap smear dan pemeriksaan payudara klinikal.- Bernama

Continue Reading

Previous: KKM tubuh pasukan petugas khas tangani krisis bekalan ubat – Dzulkefly
Next: Senaman Cergas 1Kenyalang satukan komuniti, semarak gaya hidup sihat di Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.