
BEKENU: Pengguna jalan raya yang melalui Lebuh Raya Pan Borneo dari arah Miri ke Bekenu dinasihatkan agar lebih berhati-hati susulan penutupan separuh jalan susur kiri di KM894.2 pada Jumaat ini (8 Mei).
Notis pemberitahuan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, penutupan tersebut dilaksanakan bagi memberi laluan kepada kerja pemunggahan besi truss bagi jejantas pejalan kaki di lokasi berkenaan.
Kawasan terlibat adalah berhampiran MDS Mall, Bekenu, melibatkan laluan trafik dari arah Miri menuju ke Bekenu.
Sepanjang tempoh kerja dijalankan, hanya sebahagian laluan akan ditutup dan aliran trafik akan dikawal.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya diminta mematuhi semua papan tanda keselamatan yang disediakan serta memperlahankan kenderaan ketika melalui kawasan pembinaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
JKR Sarawak turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan lebih awal pada tarikh tersebut.
Oleh Adum Liu