
PETRA JAYA: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berhasrat untuk menghasilkan buku mewah (coffee table book) mengenai Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Hasrat itu dizahirkan semasa pengurusan tertinggi Bernama, diketuai Pengerusinya Datuk Seri Wong Chun Wai serta Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Wan Junaidi dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri, di sini hari ini.
Dalam pertemuan yang berlangsung sekitar sejam itu, Tun Wan Junaidi, yang juga seorang penulis, turut berkongsi beberapa buku hasil penulisannya termasuk Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia Edisi Ketiga, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 15 Januari 2024.

Buku The 365 Days in Astana: Kisah dan Potret Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang turut dikongsikan bukan sekadar koleksi gambar, tetapi juga naratif yang merakamkan inti pati tanggungjawab, rasa hormat dan dedikasi beliau sepanjang memegang jawatan berkenaan.
Karya lain seperti A Policeman, menceritakan pengalaman mempertaruhkan nyawa dalam beberapa siri operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara di Miri, Sibu dan Kapit ketika beliau berkhidmat dengan Pasukan Polis Hutan, sekali gus mencerminkan semangat patriotisme beliau dalam tempoh sukar negara.
Hadir sama dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Khidmat Pengurusan dan Kewangan Bernama Sharifah Zaini Syed Zain, Ketua Jabatan Komersial Bernama Mastura Hassan, Pengurus Pemasaran Foto Fariz Rizal Mardzri serta Ketua Biro Bernama Sarawak Ammar Syafiq Hamzah.- Bernama