Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • MBKS perkukuh kerjasama dengan komuniti penjaja
  • Selatan
  • WILAYAH

MBKS perkukuh kerjasama dengan komuniti penjaja

Utusan Sarawak 12 hours ago
AMANAT…Dato Wee Hong Seng ketika berucap pada perhimpunan melibatkan komuniti penjaja dari Pasar Jubilee dan Kueh Shiak Hong, di Market Petanak, hari ini. Foto Norman B

KUCHING: Sekitar 250 penjaja menghadiri perhimpunan melibatkan komuniti penjaja dari Pasar Jubilee dan Kueh Shiak Hong yang berlangsung di Market Petanak, hari ini, bersama Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.

Dalam ucapannya, beliau berkata perhimpunan tersebut bukan sekadar platform pertemuan, malah menjadi ruang penting untuk Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mendengar pandangan, memahami keperluan serta memperkukuh kerjasama dengan para penjaja.

Menurutnya, Market Petanak merupakan antara pasar tertua di Kuching Selatan yang dibina pada 1988 sebagai penempatan semula penjaja dari kawasan Padungan dan Gambir Street, sebelum berkembang menjadi nadi penting kehidupan harian masyarakat setempat.

“Malah hari ini, terdapat perniagaan yang telah diwarisi sehingga generasi ketiga, sekali gus membuktikan bahawa sektor penjaja bukan sekadar sumber pendapatan, tetapi juga legasi keluarga, budaya dan sebahagian daripada sejarah bandar ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa landskap perniagaan penjaja kini semakin berubah seiring perkembangan semasa, dengan pelanggan lebih menitikberatkan aspek kebersihan, keselesaan, kualiti makanan, perkhidmatan serta ulasan dalam talian, selain penggunaan platform digital untuk tempahan makanan.

Sehubungan itu, penjaja disaran untuk terus berinovasi dan berfikiran kreatif dalam menarik pelanggan, termasuk memperbaiki persembahan produk, mengekalkan tahap kebersihan tinggi, memanfaatkan media sosial serta menawarkan keunikan tersendiri.

Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan penting penjaja dalam menyokong ekonomi tempatan dengan menyediakan makanan mampu milik, selain membantu pembekal tempatan seperti petani dan nelayan, di samping membuka peluang pekerjaan.

“Penjaja juga memainkan peranan dalam memelihara identiti serta budaya makanan tempatan, yang menjadi antara tarikan utama pelancong ke Kuching,” ujarnya.

KENANGAN...Dato Wee Hong Seng bersama tetamu kehormat yang lain dan para penjaja merakam gambar kenangan pada pada perhimpunan melibatkan komuniti penjaja dari Pasar Jubilee dan Kueh Shiak Hong, di Market Petanak hari ini. Foto Norman B

MBKS, katanya, sentiasa mengiktiraf sumbangan tersebut dengan melaksanakan pelbagai usaha penambahbaikan di pasar dan pusat penjaja di bawah seliaannya, termasuk dari segi kebersihan, kemudahan, kawalan pelesenan serta keselamatan bagi memastikan persekitaran lebih selesa kepada semua.

Bagi Market Petanak, Jubilee Ground dan Kueh Shiak Hong, beliau memaklumkan MBKS akan terus meneliti keperluan penambahbaikan secara praktikal berdasarkan sumber sedia ada, di samping menggalakkan kerjasama erat antara penjaja dan pihak majlis.

Beliau turut menekankan kepentingan aspek kebersihan, keselamatan makanan serta pengurusan sisa yang baik bagi memastikan pasar kekal bersih dan menarik lebih ramai pelanggan.

Pada masa sama, MBKS juga komited ke arah menjadikan Kuching Selatan sebagai bandar yang mampan, pintar dan mesra rakyat melalui pelbagai inisiatif komuniti, program kitar semula, penggunaan platform digital serta usaha penambahbaikan bandar.

Mengulas lanjut, beliau menggalakkan generasi muda untuk meneruskan bidang penjajaan dengan penuh kebanggaan, sambil menegaskan bahawa perniagaan kecil berpotensi berkembang menjadi jenama besar sekiranya diurus dengan kreativiti, perkhidmatan berkualiti dan produk yang baik.

Mengakhiri ucapan, beliau merakamkan penghargaan kepada semua penjaja atas usaha dan sumbangan mereka, sambil menegaskan komitmen MBKS untuk terus bekerjasama dalam membangunkan Kuching Selatan sebagai bandar yang lebih bersih, menarik dan berdaya saing demi kesejahteraan masyarakat serta generasi akan datang.

Oleh Norman B

Continue Reading

Previous: Program lawatan sambil belajar tingkat kesedaran keselamatan kanak-kanak
Next: BBP Batu Niah terima sumbangan sempena Hari Bomba Sedunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.