
KAMPALA: Tujuh orang maut manakala 13 lagi cedera parah hari ini apabila sebuah bas penumpang bertembung dengan sebuah treler di utara Uganda, lapor Xinhua.
Nahas berlaku apabila bas yang dalam perjalanan dari daerah Arua ke ibu negara Kampala bertembung dengan treler berdaftar di Sudan Selatan di Kampung Labok, sepanjang lebuh raya Nwoya-Pakwach pada kira-kira 1.15 pagi waktu tempatan (2215 GMT), kata jurucakap trafik dan keselamatan polis, Michael Kananura, kepada pemberita.
Seramai 67 penumpang berada di dalam bas, menurut polis.
“Siasatan awal menunjukkan pemandu bas cuba memotong dua bas lain di hadapannya dan dalam proses itu bertembung secara berdepan dengan treler yang datang dari arah bertentangan,” kata Kananura.
“Akibatnya, empat penumpang maut di tempat kejadian dan 16 lagi cedera serta dikejarkan ke Hospital Anaka. Tiga lagi mangsa kemudian meninggal dunia akibat kecederaan, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada tujuh,” katanya. – Bernama