
BINTULU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu melaksanakan Ops Samseng Jalanan di sekitar bandar ini awal pagi tadi bagi membanteras aktiviti lumba haram serta salah laku trafik dalam kalangan penunggang motosikal.
Menurut satu kenyataan, operasi sekitar 3.00 pagi itu diketuai Balai Polis Trafik Bintulu dengan menyasarkan beberapa lokasi panas termasuk Jambatan Tun Taib Mahmud yang dipercayai sering dijadikan lokasi lumba haram.
Difahamkan, beberapa individu telah ditahan manakala puluhan motosikal diperiksa dalam operasi bersepadu berkenaan.

Antara kesalahan dikesan termasuk pengubahsuaian motosikal secara melampau, tidak memiliki lesen memandu sah serta pelbagai pelanggaran peraturan jalan raya, dengan beberapa motosikal turut disita untuk tindakan lanjut.
Operasi berkenaan turut dipantau oleh Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali bersama pegawai dan anggota terlibat bagi memastikan penguatkuasaan berjalan lancar.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa pemantauan akan terus dipertingkatkan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang jalan raya.

Orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.
“Apabila ditahan, jangan menyesal.
“Pilih untuk patuh undang-undang, bukan jadi ancaman di jalan raya,” ujar kenyataan.