
SHEFFIELD: Perlawanan Kejohanan Dunia Snuker antara Shaun Murphy dan Wu Yize bermula dalam keadaan kecoh apabila seorang penunjuk perasaan dikeluarkan dari Crucible di Sheffield, selain pengadil Rob Spencer menegur penonton kerana tidak mematikan telefon bimbit mereka ketika permainan berlangsung, lapor PA Media/dpa.
Seorang penonton wanita segera dikeluarkan oleh pegawai keselamatan hari ini selepas menjerit di pertengahan frame ketiga ketika pemain China berusia 22 tahun itu sedang bersedia membuat pukulan.
Kejadian itu berlaku selepas gangguan serupa pada lewat separuh akhir semalam antara Wu dan Mark Allen, apabila seorang penonton menjerit “jangan lupa fail Epstein” sebelum turut diiring keluar dari arena.
Dalam insiden berasingan, Murphy melemparkan alat sokongan miliknya kerana kecewa selepas gagal memasukkan bola hijau pada frame kedua, dipercayai terganggu oleh bunyi deringan telefon.
Insiden itu mendorong Spencer menegur penonton pada akhir frame dengan memberi amaran: “Pastikan telefon anda dalam mod senyap atau dimatikan. Jangan jadi individu yang terpaksa diusir keluar.” – Bernama