
MOSCOW: Rusia dibenarkan meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 62,000 tong sehari (bpd) pada Jun berbanding Mei kepada 9.762 juta bpd, menurut OPEC hari ini, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pada Mei, had maksimum pengeluaran minyak yang dibenarkan bagi Rusia ialah 9.699 juta bpd.
Had pengeluaran minyak Arab Saudi pada Jun akan meningkat sebanyak 62,000 bpd, membolehkannya meningkatkan pengeluaran kepada 10.291 juta bpd.
Arab Saudi terpaksa mengurangkan pengeluaran sebelum ini susulan kekangan perkapalan di Selat Hormuz.
Menurut laporan OPEC, pengeluaran minyak Arab Saudi susut sebanyak 23 peratus pada Mac kepada 7.8 juta bpd.
Kuwait dibenarkan meningkatkan pengeluaran minyak pada Jun sebanyak 16,000 bpd kepada 2.628 juta bpd, Oman sebanyak 5,000 bpd kepada 826,000 bpd, dan Iraq sebanyak 26,000 bpd kepada 4.352 juta bpd. Pada Mei, kuota maksimum pengeluaran minyak yang dibenarkan bagi Kuwait ialah 2.612 juta bpd, Oman 821,000 bpd dan Iraq 4.326 juta bpd.
Kazakhstan dibenarkan meningkatkan pengeluaran minyak pada Jun sebanyak 10,000 bpd kepada 1.599 juta bpd tanpa mengambil kira jadual pampasan lebihan pengeluaran, manakala had pengeluaran Algeria dinaikkan sebanyak 6,000 bpd kepada 989,000 bpd, menurut data OPEC. – OPEC