
WASHINGTON, Amerika Syarikat: Syarikat penerbangan tambang rendah Amerika Syarikat, Spirit Airlines, memaklumkan pada hari ini bahawa semua penerbangannya telah dibatalkan susulan pelaksanaan penamatan operasi secara teratur, berikutan kenaikan mendadak harga bahan api dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang tidak memberi pilihan lain kepada syarikat.
Syarikat yang berdepan masalah itu, yang dijangka keluar daripada kebankrapan kali kedua dalam tempoh setahun, mengumumkan penghentian operasi selepas cadangan pelan penyelamatan oleh Rumah Putih tidak menjadi kenyataan.
Syarikat induk Spirit Airlines, Spirit Aviation Holdings, dalam kenyataan media pada hari ini berkata, pihaknya telah memulakan penamatan operasi secara teratur yang berkuat kuasa serta-merta.
“Semua penerbangan Spirit telah dibatalkan dan penumpang tidak perlu ke lapangan terbang,” menurut syarikat itu, yang sebelum ini memberi tekanan kepada syarikat penerbangan besar melalui tawaran tambang murah tanpa perkhidmatan tambahan sejak lebih 30 tahun lalu.
Laman sesawang syarikat turut memaparkan mesej bahawa perkhidmatan pelanggan tidak lagi tersedia. Syarikat penerbangan itu memaklumkan bayaran balik akan diproses bagi tiket yang telah dibeli.
Harga bahan api jet dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda sejak konflik dengan Iran bermula pada Februari, sekali gus menyebabkan syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat menurunkan unjuran keuntungan, mengurangkan kapasiti penerbangan atau kedua-duanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Spirit, Dave Davis berkata, syarikat itu pada Mac lalu telah mencapai persetujuan dengan pemegang bon mengenai pelan penstrukturan semula yang sepatutnya membolehkan operasi diteruskan.
“Namun, kenaikan mendadak dan berterusan harga bahan api dalam beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan kami tiada pilihan selain melaksanakan penamatan operasi secara teratur,” katanya dalam kenyataan tersebut.
“Bagi mengekalkan operasi, syarikat memerlukan ratusan juta dolar tambahan dari segi kecairan yang tidak dimiliki dan tidak dapat diperoleh oleh Spirit. Keadaan ini amat mengecewakan dan bukan hasil yang diharapkan oleh kami semua,” katanya.
— AFP