SRI AMAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak kecewa terhadap tuduhan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab bahawa pihak mereka adalah pembangkang dalam Negeri ini.
Ketua Pemuda @ Armada BERSATU Sarawak, Alexander Frusis menerusi siaran medianya semalam menjelaskan bahawa parti mereka dipimpin oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak seharusnya dilabel sebagai pembangkang.
“Saya berharap agar rakyat khususnya di Bintulu tidak mudah percaya terhadap dakwaan tidak berasas berkenaan,” kata beliau.
Alexander menerusi siaran media itu mewakili Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sarawak, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian pada Majlis Penyerahan Taman Kontan di Rumah Ghani, Sebangat Sebauh, Bintulu baru-baru ini.
Selain itu, beliau siaran media itu menegaskan bahawa kehadiran BERSATU di negeri ini bukan untuk mewujudkan sengketa atau menganggap Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai lawan dalam politik.
Sebaliknya, kehadiran BERSATU kata Alexander lebih menjurus kepada menawarkan khidmat kebajikan yang lebih mampan kepada rakyat terutamanya di luar bandar demi mengecapi dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2020.
“BERSATU adalah rakan kerjasama GPS di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mahu kestabilan politik dalam negeri ini dipelihara oleh semua parti politik tanpa mengira latar belakang mereka.
“Bagi saya, adalah amat penting untuk semua pihak berbuat demikian kerana rakyat buat masa ini amat mengharapkan sebuah kerajaan yang stabil untuk terus membantu mereka menempuh kesan penularan pandemik Covid-19 pada masa sekarang,” kata beliau.
Alexander juga menggesa rakyat Sarawak agar terus berdiri teguh di belakang Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Kerajaan PN dan Kerajaan GPS aga mereka terus mengecapi pembangunan dari semasa ke semasa.
Terdahulu, Ketua Penerangan BERSATU Sarawak, Leftenan Madya (B) Duke Janteng pada program itu menyerahkan pelbagai jenis bantuan berskala kecil bernilai RM57,000 kepada rakyat luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena.
Antara keperluan berkenaan adalah alatan membina rumah, bantuan bakul makanan dan peralatan memasak untuk biro wanita di sekitar rumah panjang Sebauh, Kemena.
Selain itu, turut diadakan ialah penyampaian sebanyak 400 unit Bakul Pertanian kepada peserta terpilih dengan setiap bakul itu mengandungi pelbagai biji sayur-sayuran yang bernilai RM100.