
KANOWIT: Laluan jalan balak di kawasan Skim Penempatan Semula (SPS) Ngungun hingga ke SPS Jagau akan dinaik taraf sebagai penyelesaian sementara bagi memastikan kelancaran perhubungan penduduk sementara menunggu projek jalan utama siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, langkah tersebut diambil oleh Kerajaan Sarawak bagi mengatasi kekangan akses di kawasan berkenaan yang kini masih bergantung kepada laluan sedia ada.
Menurutnya, dalam masa sama, projek pembinaan jalan utama yang menghubungkan SPS Ngungun hingga ke SPS Jagau terus dilaksanakan secara berperingkat dengan nilai keseluruhan melebihi RM123 juta.

“Bagi fasa pertama dari SPS Ngungun ke Nanga Bat sepanjang 4.3 kilometer, projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah ditender pada 25 Februari lalu dengan kos lebih RM37.79 juta.
“Namun, pelaksanaannya sedikit tertangguh berikutan isu teknikal melibatkan urusan pembayaran yang kini sedang diselesaikan oleh Jabatan Tanah dan Survei,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Hari Keluarga Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Ngemah Tengah dan Ngemah Hilir di Karangan Nanga Bat, hari ini.
Sementara itu, bagi laluan Nanga Bat ke Nanga Pra sepanjang 8 kilometer, Anyi berkata projek di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) bernilai RM86 juta kini telah mencapai kemajuan 86 peratus.
Katanya, kesinambungan projek dari Nanga Pra ke Nanga Jagau pula dijangka ditender pada suku ketiga tahun ini, bergantung kepada jadual pelaksanaan oleh Jabatan Kerja Raya.
“Jika tidak pada suku ketiga, kita harap ia dapat dilaksanakan pada suku keempat 2026 atau selewat-lewatnya suku pertama 2027.
“Walaupun projek ini melibatkan pengambilan tanah, setakat ini semua isu dapat diselesaikan dengan baik,” jelasnya.
Tambah beliau, satu lagi projek jalan sepanjang 7 kilometer menghubungkan ke Simpang Jagau juga akan ditender dalam masa terdekat, sekali gus melengkapkan rangkaian jalan di kawasan tersebut.
Oleh Tarani Lanting