MIRI: Pembinaan bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) bukan sahaja menjadi pusat kaum Orang Ulu di Sarawak, bahkan bakal menjadi salah satu bangunan ikonik di bandar raya ini, apabila siap kelak.
Bangunan dibina dengan kos RM25 juta di atas tanah kerajaan negeri seluas lima ekar di Jalan Padang Kerbau itu dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.
Reka bentuk bangunan tersebut mengambil kira ciri-ciri dan aspek-aspek kebudayaan dan kesenian Orang Ulu.
Ia akan dilengkapi dengan dewan serbaguna, bilik seminar, ruang terbuka, pejabat pentadbiran, taman landskap, galeri budaya Orang Ulu.
Bangunan ibu pejabat FORUM itu menzahirkan sembilan persatuan Orang Ulu bernaung di bawahnya iaitu Persatuan Kayan Sarawak, Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak, RURUM Kelabit Sarawak, Persatuan Bisaya Sarawak, Persatuan Saban Sarawak, Persatuan Berawen Sarawak, Persatuan Lun Bawang Sarawak, PETIPUN Penan Sarawak dan LAKIPUT Sarawak.
Pembinan bangunan itu melambangkan dasar inklusif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg terhadap semua kaum di Sarawak.
Terdahulu, Timbalan Speaker Dewan Undnagan Negeri (DUN) yang juga Penasihat FORUM, Dato Gerawat Gala berkata, bangunan tersebut disediakan untuk acara kebudayaan , pameran dan aktiviti-aktiviti mempromosi kraftangan dan produk dari kawasan Hulu.
“Kita akan berusaha mempromosikan pusat FORUM ini menjadi salah satu tarikan utama pelancong di bandar raya Miri sebagai satu Kampung Budaya Orang Ulu.
“Terima kasih Yang Amat Berhormat Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari) kerana memahami dan telah menunaikan aspirasi dan impian masyarakat Orang Ulu untuk membina satu pusat dan bangunan ikonik yang menonjol keunikan budaya Orang Ulu yang juga menjadi simbol kesatuan dan keutuhan masyarakat Orang Ulu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pecah tapak pembinaan bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Jalan Padang Kerbau di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Pelancongan,Kesenian,Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Karim Hamzah, Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Ripin Lamat, ADUN Telang Usan, Dennis Ngau dan ADUN Murum yang juga Presiden FORUM ,Keneddy Cukpai Ugon.
Oleh LIONG CHAI LING