MIRI: Sarawak mencatatkan nilai pelaburan asing tertinggi di Malaysia iaitu RM15.8 bilion pada tempoh Januari hingga September tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini didorong oleh kestabilan politik dan keharmonian negeri ini.
“Beberapa hari lepas , saya terbaca satu artikel yang dikeluarkan oleh UOB Financial and Market Research, pihak profesional bank menyatakan di Malaysia ini antara Januari hingga September lalu, negeri yang banyak menerima pelaburan yang teratas sekali ialah Sarawak.
“Sarawak berada di tangga atas menerima pelaburan asing di seluruh negara dengan mencatatkan nilai RM15.8 bilion. Ini sebab politik kita stabil dan kita mempunyai kerukunan saling menghormati di antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pecah tapak pembinaan bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) di Jalan Padang Kerbau di sini, semalam.
Pada majlis tersebut, Abang Johari menggesa masyarakat Orang Ulu untuk terus bersama dan memperkuatkan diri di bawah pimpinan-pimpinan mereka sekarang yang mampu memajukan komuniti.
“Minggu lepas saya merasmikan tapak pembinaan bangunan untuk kaum Melayu, sebelum itu saya merasmikan (tapak bangunan) untuk masyarakat kaum Iban dan hari ini (semalam) saya diberi kehormatan untuk merasmikan “rumah” FORUM.
“Inilah tempat anda untuk berkumpul dan membincangkan pembangunan masyarakat masing masing dalam era baharu ini. Jika tidak, kita akan menjadi statik dan tidak dapat maju.
“Tapi saya nampak pimpinan dalam Orang Ulu, YB (Yang Berhormat) mereka yang hadir hari ini mereka dapat mencari jalan bagaimanakah mengangkatkan martabat budaya Orang Ulu bersama -sama dengan kaum lain,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan bangunan ibu pejabat FORUM itu adalah simbol Orang Ulu yang mempertahankan budaya mereka disamping itu untuk melihat masa depan Orang Ulu.
Katanya, inisiatif untuk membina bangunan untuk pelbagai kaum di Sarawak telah bermula sejak beberapa tahun yang lalu dan mengikuti ketetapan yang ditentukan semasa seminar budaya yang dianjurkan oleh kaum-kaum yang terdapat di Sarawak.
Oleh LIONG CHAI LING