NEW YORK: Polis menembak mati seorang lelaki selepas individu itu melepaskan tembakan berdekatan orang ramai yang berkumpul untuk menyaksikan nyanyian ‘carol’ di luar sebuah gereja, di sini, semalam.
Komisioner Dermot Shea daripada Jabatan Polis New York, memaklumkan bagaimanapun tiada individu lain yang cedera dalam kejadian berlaku di Manhattan itu.
Beliau berkata, tiga anggota polis melepaskan sejumlah 15 tembakan pada lelaki berkenaan.
“Lelaki itu telah ditembak sekurang-kurang sekali di bahagian kepala,” katanya kepada pemberita.
Polis menemui dua senjata api di lokasi kejadian, selain menjumpai sebuah beg yang mengandungi gasolin, tali, wayar dan pelbagai pisau di tempat berhampiran.
Seorang wartawan AFP yang menyaksikan insiden itu mendakwa, beliau melihat lelaki berkenaan melepaskan tembakan dari tangga gereja terbabit ketika beberapa ratus orang mulai beredar apabila konsert itu tamat sejurus sebelum jam 4 petang.
Saksi, Martha Stolley, mendakwa lelaki itu melepaskan antara lapan hingga 10 tembakan sebelum ditembak anggota polis.
“Lelaki itu menembak tanpa sasaran dan menjerit ‘tembak saya, bunuh saya’,” katanya kepada AFP. – AFP