Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Warisan seni biduanita negara Sharifah Aini diangkat ke pentas berprestij DFP
  • HIBURAN

Warisan seni biduanita negara Sharifah Aini diangkat ke pentas berprestij DFP

Utusan Sarawak 8 hours ago
RAKAM KENANGAN… Ahmad Muriz Che Rose bersama barisan artis yang terlibat pada sidang media hari ini mengenai penganjuran Konsert A Tribute to Sharifah Aini. Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mengambil inisiatif mengangkat warisan seni dan muzik seniman negara itu menerusi konsert A Tribute to Sharifah Aini di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 6 Jun ini, sebagai penghormatan bertaraf tinggi kepada legenda yang tiada pengganti itu. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Dalam landskap muzik tanah air, nama Allahyarham Datuk Sharifah Aini disebut bukan sekadar seorang penyanyi, tetapi legenda seni yang membentuk cita rasa, standard dan jiwa pendengar merentasi generasi. 

Justeru, tidak hairanlah Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) mengambil inisiatif mengangkat warisan seni dan muzik seniman negara itu menerusi konsert A Tribute to Sharifah Aini di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 6 Jun ini, sebagai penghormatan bertaraf tinggi kepada legenda yang tiada pengganti itu. 

Pemergian Biduanita Negara itu pada 2014 tidak sesekali memadamkan pengaruhnya, sebaliknya karya Allahyarham terus menjadi rujukan utama dalam menilai kehalusan vokal dan kejujuran penghayatan lagu.

Digelar ‘anak emas EMI’, Sharifah Aini mencatatkan pencapaian luar biasa apabila jualan albumnya mencapai status Emas dan Platinum, selain menghasilkan lebih 100 album sepanjang kerjayanya.

SIDANG MEDIA… Ahmad Muriz Che Rose ketika sidang media mengenai penganjuran Konsert A Tribute to Sharifah Aini hari semalam. Foto BERNAMA

Pengarah muzik dan konduktor Ahmad Muriz Che Rose yang bakal memimpin konsert itu, menyifatkan penganjurannya sebagai satu tanggungjawab besar dalam memelihara roh asal karya legenda berkenaan.

Menurutnya, pemilihan repertoir dilakukan secara teliti bagi mencerminkan keluasan spektrum muzik Sharifah Aini yang merangkumi pop, balada, tradisional, runut bunyi filem serta karya berbahasa Inggeris.

“Jika dibandingkan dengan standard barat, tidak keterlaluan untuk menyifatkan Sharifah Aini sebagai antara prodigi dalam dunia muzik. Sejak kemunculan awalnya, beliau pantas mencipta impak besar dalam industri, memikat setiap orang yang mendengar suaranya dan terus meninggalkan jejak yang sukar ditandingi.

“Sepanjang lebih tiga dekad berkarya, Sharifah Aini menghasilkan kira-kira 700 buah lagu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara figura paling berpengaruh dalam sejarah muzik tempatan.

KOLEKSI album Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini yang dipamerkan sempena sidang media semalam mengenai penganjuran Konsert A Tribute to Sharifah Aini. Foto BERNAMA

“Kini, tiba masanya karya-karya agung Allahyarham diangkat ke tahap lebih tinggi, selari dengan kehebatan legasi yang ditinggalkannya,” katanya kepada pemberita pada sidang media konsert tersebut, di sini semalam.

Konsert di pentas berprestij itu akan menemukan dua generasi penyanyi, iaitu legenda Datuk Khadijah Ibrahim dan Salamiah Hassan, bersama-sama dengan suara baharu Asmidar dan Shiha Zikir.

Kesemua karya akan diberi nafas baharu menerusi gubahan khas barisan komposer tersohor termasuk Azhad Sulaiman, Shahhakam Mokhtar, Jenny Chin, Ilham Subri, Luqman Aziz serta Ahmad Muriz sendiri.

Sementara itu, Khadijah Ibrahim menyifatkan peluang menjayakan konsert tribut itu sebagai sesuatu yang amat peribadi, memandangkan hubungan akrabnya dengan Sharifah Aini yang sudah lama terjalin seperti keluarga sendiri.

“Apabila ditawarkan konsert ini, tanpa ragu saya terus bersetuju. Sharifah Aini bukan sekadar rakan seni, dia sudah seperti saudara saya sendiri,” katanya dan berkongsi tentang perancangan lama mereka untuk menjayakan konsert bersama yang tidak sempat direalisasikan.

Bagi Shiha Zikir pula, penyertaannya dalam konsert penghormatan itu membawa makna mendalam kerana hubungannya dengan Allahyarham melangkaui hubungan mentor dan anak didik. 

Menurutnya, Sharifah Aini yang dipanggil “Umi” banyak membentuk asas disiplin dan cara kerjanya sebagai anak seni.

“Siapa saya hari ini, sebahagiannya datang daripada didikan dan pesanan Umi,” katanya, sambil menegaskan setiap tunjuk ajar Allahyarham kekal menjadi pegangan hingga kini.

Tiket konsert  berharga antara RM249 hingga RM499  boleh didapati menerusi laman web MPO di www.mpo.com.my. atau hubungi talian 03-23317007. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Bintang ‘Jurassic Park’ Sam Neill bebas kanser selepas terapi gen
Next: Azam Sarawak angkat potensi komuniti Mukah melalui inisiatif kreatif di Pesta Kaul 2026

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.