VALENTINE NGUMBANG
SIMANGGANG: Tekanan akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kian meningkat dalam kalangan penduduk apabila arahan itu telah dilanjutkan oleh kerajaan sehingga 12 Mei ini.
Ini kerana lanjutan arahan penguatkuasaan PKP telah menimbulkan masalah dalam kalangan penduduk lebih-lebih lagi buat mereka yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan keperluan makanan pada waktu sukar ini.
Atas sebab itu, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam bandar ini telah pun mengambil inisiatif bersama untuk melancarkan Program Pengedaran Bahan Keperluan Semasa PKP untuk golongan memerlukan yang bermula semenjak Isnin lepas.
“Menerusi program ini, pihak kami iaitu Pertubuhan Meninggikan Akhlak atau Chee Chuan Khor Simanggang dan Kesatuan Soon Heng Simanggang telah pun memulakan agihan bantuan makanan kepada 700 Ketua Isi Rumah (KIR) di sini.
“Para sukarelawan telahpun mengagih bantuan ke rumah penerima dengan kesemua KIR tersebut sudah pun melakukan pendaftaran terhadap kami sebelum bermula program berkenaan,” kata Presiden Chee Chuan Khor Simanggang, Temenggung Kueh Aik Seng.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebaik sahaja tamat melancarkan Program Pengedaran Bahan Keperluan Semasa PKP tersebut bertempat di bangunan Pertubuhan Chee Chuan Khor Simanggang dalam bandar ini semalam.
Selain itu Kueh turut menasihatkan penduduk dalam bandar ini agar sentiasa tabah mengharungi penguatkuasaan PKP dan memanfaat sebaik mungkin bantuan yang diterima oleh mereka daripada agensi kerajaan.
“Kepatuhan kita terhadap PKP adalah amat penting. Walaupun penguatkuasaan PKP ini dilanjutkan tempohnya sehingga 12 Mei namun ia amat penting dalam menyekat penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan penduduk.
“Kesukaran disebabkan oleh arahan ini sememangnya difahami oleh ramai pihak. Namun ia adalah lebih baik daripada membiarkan virus ini terus merebak sehingga meragut nyawa ahli keluarga dan sahabat handai tersayang kita kelak,” kata beliau.
Hadir sama ialah Penasihat Chee Chuan Khor Simanggang dan Kesatuan Soon Heng Simanggang, Kho Min Hua, Setiausaha Kesatuan Soon Heng Simanggang, Goh Kaw Sze, Timbalan Ketua Wanitanya, Tay Chung Gek dan beberapa ahli jawatankuasa tertinggi dari kedua-dua pertubuhan itu.
Menerusi program berkenaan, kedua-dua pertubuhan tersebut bertindak mengagih bantuan makanan berupa beras 10 kilogram, mee segera, produk minuman berjenama VICO, gula dan biskut kepada penerima.